RUU Majlis Media Malaysia diluluskan

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Selepas 50 tahun penubuhannya dirancang, Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 diluluskan Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti setelah dibahas 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU MMM 2024 yang bertujuan, antara lain menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media itu mengandungi 23 Fasal, dibentangkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching untuk bacaan kali pertama pada 12 Disember 2024.

Ketika membentangkan untuk bacaan kali kedua, hari ini, Nie Ching, berkata RUU itu digubal dengan hasrat industri media untuk menubuhkan sebuah badan yang akan memperkukuh tadbir urus media di Malaysia.

Katanya, cadangan penubuhan jawatankuasa atau organisasi bagi menyelaras tadbir urus industri media di Malaysia dicetuskan sejak 1973 oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Abdul Razak Hussein dan sejak itu, kerajaan menerima pelbagai cadangan berbentuk serupa daripada industri media.

Bagaimanapun, Memorandum Jemaah Menteri (MJM) untuk menubuhkan MMM hanya dikemukakan kepada Jemaah Menteri pada 6 Disember 2019 oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Gobind Singh Deo dan diluluskan.

Nie Ching memaklumkan, pada awal 2023, sesi libat urus dimulakan di bawah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dengan Jawatankuasa Protem MMM, sehingga mampu dibentangkan di Dewan Rakyat.

Katanya, RUU itu adalah komitmen Kementerian Komunikasi dan Kerajaan MADANI bagi menjamin kebebasan media untuk memastikan masyarakat umum mendapat maklumat yang sahih, berintegriti dan adil.

Melalui penubuhan MMM, kerajaan katanya yakin ruang semak dan imbang boleh dilaksanakan oleh pemain industri media sendiri bagi meningkatkan amalan integriti dan pematuhan etika.

“Di sini letaknya tugas besar MMM dan pengamal media untuk menjamin integriti pelaporan kepada rakyat,” katanya.

Menurut Nie Ching, pada masa ini, Malaysia tidak mempunyai suatu badan atau majlis yang mengurus dan memperjuangkan kepentingan media tempatan dan pengamal media, yang menjadi suara industri, termasuk meningkatkan standard dan kualiti ekosistem Malaysia untuk mengharungi cabaran mendatang.

Malaysia juga tidak mempunyai kod etika pelaporan yang standard untuk diguna pakai semua pengamal media dan buat masa ini, pengamal media merujuk kepada kod etika yang dikeluarkan organisasi masing-masing untuk pelaporan berita.

Sementara itu, menjawab persoalan yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen mengenai pelantikan dua wakil kerajaan dalam Lembaga MMM, Nie Ching ketika menggulung perbahasan RUU itu, menjelaskan MMM adalah sebuah badan kerajaan dan dipertanggungjawabkan di bawah Kementerian Komunikasi.

“Justeru, wakil kerajaan wajar berada dalam Lembaga Majlis untuk urusan kerajaan.

Seperti dijelaskan dalam RUU, wakil kerajaan ini hendaklah dalam kalangan orang yang terbabit dalam industri media, maksudnya wakil kerajaan ini kemungkinan besar adalah daripada RTM atau BERNAMA.

“Jika mereka juga pengamal media, ia wajar dan ada kebaikan juga untuk mereka berada dalam Lembaga MMM,” katanya.

Di bawah RUU MMM 2024, Fasal 15 menyediakan peruntukan berkaitan mekanisme kawal selia membabitkan aduan ketidakpuasan hati, yang perlu dirangka dan diterima pakai oleh Majlis dari semasa ke semasa sebagaimana yang ditentukan dalam mesyuarat agung.

Fasal 16 pula memperuntukkan kuasa tatatertib majlis terhadap ahlinya, termasuk mewujudkan kesalahan tatatertib, menetapkan hukuman bersesuaian dan menentukan tatacara prosiding tatatertib sebagaimana yang ditetapkan dalam mesyuarat agung.

Selain itu, Fasal 8 RUU berkenaan mencadangkan peruntukan bagi penubuhan dan keanggotaan Lembaga Majlis, dengan pelantikan dua anggota yang dinamakan oleh menteri untuk mewakili kerajaan, selain anggota yang dilantik itu hendaklah dalam kalangan individu yang terlibat dalam industri media.

Fasal 9 memperuntukkan Pengerusi Majlis hendaklah bukan seorang anggota mana-mana badan perundangan atau mana-mana orang yang terbabit secara aktif dalam politik atau berdaftar dengan mana-mana parti politik atau mana-mana anggota perkhidmatan awam.

Mengenai peruntukan kewangan, Fasal 17 RUU itu mencadangkan majlis hanya boleh menerima dana asing tanpa syarat daripada mana-mana individu atau pertubuhan luar negara, hanya bagi maksud untuk menggalakkan kesedaran dan memberikan pendidikan berhubung dengan industri media dan ia tertakluk kepada kelulusan Menteri.

Fasal 23 pula sebagai perlindungan terhadap lembaga atau mana-mana jawatankuasa daripada apa-apa tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding undang-undang berkenaan apa-apa perbuatan, kecuaian atau keingkaran dilakukan mahupun ditinggalkan ketika menjalankan kewajipannya.

Sementara itu, Fahmi Fadzil, berkata MMM dijangka dapat diwujudkan dan memainkan peranannya bermula pertengahan tahun ini dengan membentuk lembaga pengasas yang akan mengemudi MMM

“Ini saat sangat bersejarah kerana RUU ini mula difikirkan pada 1973, maka apa yang dilaksanakan hari ini boleh dikatakan sudah tertunda 52 tahun. Insya-Allah melangkah ke depan dan langkah seterusnya adalah bawa rang undang-undang (RUU) MMM ini ke Dewan Negara, selepas itu kita jangka akan (tunggu) perkenan Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan.

“Setelah dikuatkuasakan nanti, kita jangka lembaga pengasas akan dibentuk dan (seterusnya) Majlis Media Malaysia. Ini kita harap sekiranya sempat, menjelang pertengahan tahun ini dapat diwujudkan,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen, di sini, hari ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment