PUTRAJAYA 26 Feb. – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggantung lesen syarikat pengendali umrah, Hejira Travel and Tours Holding Sdn Bhd kerana melakukan pelanggaran terhadap Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Dalam kenyataan hari ini, MOTAC memaklumkan, dalam tempoh penggantungan itu, syarikat tidak boleh membuat sebarang urus niaga baharu termasuk pengiklanan jualan pakej dan memulangkan semula bayaran serta apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan.
Pada masa sama, syarikat berkenaan juga dinasihatkan untuk menyelesaikan semua perjalanan yang telah ditempah atau dibayar.
Menurut kenyataan itu, setakat ini MOTAC telah menerima lapan aduan dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM180,116 terhadap syarikat berkenaan manakala rekod terdahulu menunjukkan syarikat telah dikompaun sebanyak dua kali.
“Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Akta 482 berhubung perubahan material dalam pakej umrah yang ditawarkan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, MOTAC mengingatkan agensi pelancongan untuk menjalankan perniagaan dengan penuh tanggungjawab dan mematuhi semua peraturan ditetapkan untuk mengelakkan tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan dan menyebabkan kerugian kepada pelanggan.
Sebelum ini pada 14 Januari lalu, kecoh di media sosial apabila kira-kira 300 jemaah umrah terkandas apabila penerbangan mereka ke Tanah Suci ditunda syarikat pengendali umrah berkenaan.
MOTAC kemudiannya menjalan pemeriksaan keatas premis berkenaan pada hari yang sama.