Letak jawatan tanda protes Trump

WASHINGTON – Kira-kira satu pertiga kakitangan di Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang diketuai Elon Musk meletak jawatan sebagai tanda protes, dengan mendakwa mereka enggan melaksanakan perubahan yang boleh membahayakan negara.

Dalam surat yang ditulis oleh 21 kakitangan DOGE, mereka memaklumkan sebelum ini bersumpah untuk berkhidmat kepada rakyat AS dan Perlembagaan merentasi pentadbiran Presiden.

“Bagaimanapun kini jelas bahawa kami tidak lagi dapat menunaikan komitmen berkenaan,” katanya dalam surat kepada Ketua Staf Rumah Putih, Susan Wiles.

Dalam surat itu, kumpulan pekerja berkenaan menggambarkan proses peralihan yang kucar-kacir sejak 21 Januari lalu dengan sesi temu duga dilakukan secara tergesa-gesa oleh individu tidak dikenali yang memakai pas pelawat Rumah Putih.

Penemuduga itu mengajukan soalan kepada kakitangan mengenai kesetiaan politik, cuba mewujudkan perpecahan dalam pasukan serta menunjukkan sifat kurang berpengetahuan dalam sesuatu isu.

Kakitangan terbabit pada asalnya berkhidmat dalam Perkhidmatan Digital AS sebelum ditukar menjadi DOGE selepas Presiden Donald Trump mengambil alih pentadbiran, dengan Musk secara efektif mengendalikan jabatan itu.

Musk menjadi kuasa politik di sebalik DOGE, dengan sekumpulan kecil pekerja berkenaan dihantar ke pelbagai bahagian kerajaan dalam melaksanakan agenda pengurangan kakitangan dan perbelanjaan persekutuan.

Walaupun Musk bukan pentadbir rasmi DOGE, namun Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan Tesla itu tetap mengendalikan operasi jabatan berkenaan dan dijadual menghadiri mesyuarat pertama Kabinet Trump hari ini.

Individu terkaya dunia serta penyumbang utama kempen Trump itu tidak memegang sebarang portfolio menteri atau kuasa membuat keputusan secara rasmi, tetapi diberi status sebagai pegawai khas kerajaan dan penasihat kanan kepada Presiden.

Musk meremehkan peletakan jawatan beramai-ramai itu, dengan menyifatkan pekerja terbabit sebagai sisa politik yang bekerja dari jauh dan enggan kembali ke pejabat seperti diarahkan Trump.

“Mereka tetap akan dipecat jika tidak meletak jawatan,” katanya di platform X, yang dimilikinya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment