Rumah Putih tentukan wartawan liputan

WASHINGTON – Rumah Putih mengumumkan akan menentukan sendiri wartawan yang mendapat hak liputan acara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump,  sekali gus menarik kuasa kebebasan persatuan media sejak satu abad lalu.

Setiausaha Akhbar, Karoline Leavitt, berkata Persatuan Wartawan Rumah Putih (WHCA) tidak seharusnya memonopoli untuk memilih anggota kumpulan liputan khas, iaitu kumpulan kecil wartawan yang membuat liputan terhadap Trump di lokasi seperti Pejabat Oval dan pesawat Air Force One.

Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah pertelingkahan antara Rumah Putih dan agensi berita Associated Press, yang kini dihalang Trump daripada menghadiri acara presiden susulan pertikaian berhubung keputusannya menamakan semula Teluk Mexico sebagai Teluk Amerika.

Leavitt mendedahkan keputusan itu dalam taklimat harian, dengan menegaskan bahawa WHCA sudah lama menentukan wartawan mana yang berpeluang mengajukan soalan kepada Presiden AS secara eksklusif.

“Tidak lagi, saya berbangga mengumumkan bahawa kami akan mengembalikan kuasa kepada rakyat. Mulai sekarang, kumpulan media Rumah Putih akan ditentukan oleh kami sendirii,” katanya.

Leavitt membuat pengumuman itu dengan diapit dua skrin besar yang memaparkan perkataan “Kemenangan” dan “Teluk Amerika”.

Tidak lama selepas itu, penasihat kanan Rumah Putih, Jason Miller, memuat naik hantaran di platform X: “R.I.P. @WHCA 1914-2025”, bersama gambar kumpulan berkabung yang mengusung keranda.

AFP adalah ahli WHCA dan sebahagian daripada kumpulan media Rumah Putih.

Buat masa ini belum jelas bagaimana Rumah Putih akan melaksanakan perubahan berkenaan.

Kumpulan media yang mengikuti perjalanan pesawat presiden terdiri daripada 13 wartawan daripada pelbagai agensi berita, media cetak, stesen televisyen dan radio.

Di Pejabat Oval dan semasa acara lain di Rumah Putih, jumlahnya lebih besar tetapi masih terhad kerana ruang yang sempit di West Wing.

Leavitt berkata media arus perdana masih dibenarkan menyertai kumpulan media Rumah Putih, tetapi hak liputan turut dibuka kepada penerbitan yang layak tetapi tidak pernah diberikan peluang untuk memikul peranan penting itu.

Presiden WHCA, Eugene Daniels, mengkritik langkah itu dan mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang notis awal daripada Rumah Putih.

“Tindakan ini mencabar kebebasan media di AS. Ia memberi gambaran bahawa kerajaan kini akan menentukan wartawan yang membuat liputan terhadap Presiden.

Dalam sebuah negara bebas, pemimpin tidak sepatutnya berhak memilih siapa yang menjadi media mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Related posts

Leave a Comment