RUU PSB : Tidak timbul isu pengusiran

KUALA LUMPUR 26 Feb.- Tidak timbul sama sekali isu pemilik asal hartanah tanpa mengira kaum akan diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksa di bawah cadangan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, status tanah yang asal juga tidak akan berubah sama ada rizab Melayu atau status kekal, malah kerajaan akan memastikan setiap pemilik asal hartanah memahami hak dan perlindungan yang diberikan.

Katanya, dalam mana-mana negara yang pesat membangun, muncul bandar yang kian berkembang dan sudah tentu ada bangunan yang tidak selamat, sesak dan miskin yang harus dibangunkan, selain projek terbengkalai.

Beliau berkata, sejak 2012, garis panduan dikemukakan, diusulkan pada 2013 dan seterusnya proses penggubalan dimulakan pada 2015.

“Jadi, soal gopoh (dalam membuat cadangan RUU PSB) itu, saya tidak faham mengapa dibangkitkan sekarang.

“RUU ini belum pun dibentangkan, tapi prinsip ini saya jamin ia selaras dengan kehendak Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan… dan dalam menggubal RUU ini, kita tidak mengetepikan prinsip serta prinsip perundangan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan asal Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai komitmen kerajaan atas cadangan RUU PSB yang akan memastikan tiada pemilik tanpa mengira kaum diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan, seperti yang dinyatakan dengan jelas Perkara 13 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Memberikan beberapa contoh perumahan rakyat usang dan daif yang pernah dikunjunginya, antaranya Flat Sri Perlis di Jalan Tun Razak, Perdana Menteri, berkata melihat projek dan mercu tanda baharu yang membawa perubahan yang baik, kerajaan tidak boleh membiarkan perumahan itu terus mengalami nasib sama, justeru perundingan harus dimulakan.

“Bila saya lihat itu, saya beritahu Menteri mesti lakukan sesuatu dengan segera. Tak boleh kita biar orang miskin majoriti Melayu, India di situ, ada sedikit Cina, tetapi majoriti Melayu dalam keadaan begitu, tapi (kita) jamin hak dia kekal, jamin rumah itu akan lebih mahal, lebih baik.

“Ada kes, salah satu projek di rumah pangsa Jalan Tun Razak (Desa Kudalari). Itu semua setuju, seorang yang tidak setuju. Sampai sekarang, lapuk, lembap, daif di tengah tengah kota besar.

“Apakah kita boleh korbankan seluruh projek yang dipersetujui oleh 99 peratus (pemilik) hanya kerana seorang (yang tidak bersetuju)” katanya.

Tambah Perdana Menteri, melalui RUU itu juga syarat ditetapkan adalah hartanah baharu yang dibangunkan tidak boleh lebih murah atau lebih kecil berbanding hartanah asal.

Beliau mengambil contoh Residensi Kerinchi di mana ketika pengambilalihan kosnya adalah RM70,000 bagi 418 kaki persegi (38.82 meter persegi), namun selepas dibangunkan semula dengan keluasan dinaikkan kepada 882 kaki persegi (81.9 meter persegi) dan kos meningkat sehingga RM400,000.

“Syaratnya, tidak boleh (lebih) murah dan (lebih) kecil daripada dulu. Itu prinsip yang diterima pakai. Kalau sekarang satu bilik, sekurang-kurangnya jadi tiga bilik.

“Jadi, bagi saya dan kerajaan, ini cara kita nak bantu kerana saya tak sanggup lihat kawasan yang begitu daif. (Jadi) tidak timbul ini soal rizab Melayu (atau) tanah (orang) Melayu nak diambil. Kalau betul nak tolong Melayu, ini cara dia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment