18 kes DNAA libatkan VIP, VVIP

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Sebanyak 18 kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) membabitkan orang kenamaan (VIP) direkodkan antara 2018 hingga 2024, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, bilangan tertinggi direkodkan masing-masing pada 2023 dan 2020, iaitu lima kes DNAA dalam kalangan VIP atau VVIP, selain tiga kes pada 2019, dua kes tahun lalu dan 2018 dan satu kes pada 2021.

Beliau memberitahu, keputusan melepas tanpa membebaskan adalah selaras Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang mana Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

“Dalam menjalankan kuasa berkenaan, Peguam Negara akan menggunakan budi bicaranya berasaskan keterangan yang diperoleh daripada pihak penguat kuasa, perkembangan dan keterangan baharu yang wujud semasa perbicaraan kes berlangsung,” katanya melalui jawapan bertulis di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang ingin mengetahui jumlah kes VIP atau VVIP yang diberi keputusan DNAA sejak lima tahun kebelakangan ini dan langkah mempertingkatkan ketelusan proses perundangan.

Azalina berkata, berdasarkan Pekeliling Ketua Pendaftar Bilangan 1 Tahun 2012-Kes Berprofil tinggi, ada beberapa kategori orang kenamaan yang disenaraikan, pertama membabitkan Sultan, Raja, Tuan Yang Terutama dan kerabat dekat.

Kedua ialah Menteri Kabinet, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Parlimen (Dewann Rakyat atau Dewan Negara), Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Diraja atau Majlis Pangkuan Negeri (atau apa-apa nama majlis sedemikian digelar) dan pemimpin politik lain yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan atau parti politik.

Ketiga, hakim Mahkamah Persekutuan, hakim Mahkamah Rayuan, hakim Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya manakala yang keempat, pegawai dan pegawai kanan kerajaan iaitu dalam kumpulan perkhidmatan pengurusan dan profesional serta ketua jabatan Persekutuan atau negeri dan agensi kerajaan.

Mengenai usaha bagi memastikan ketelusan proses perundangan yang membabitkan kes DNAA, Azalina berkata, reformasi pelbagai peringkat sistem kehakiman sama ada dari segi perundangan, komunikasi atau prosedur sudah dilaksanakan.

Jelasnya, kerajaan mewujudkan kerjasama strategik bersama universiti tempatan untuk menjalankan kajian perundangan sebelum membuat cadangan penambahbaikan.

“Selaras evolusi dan perkembangan teknologi digital, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif ‘Roadmap: AI Legal Justice 2025’ yang menerima pakai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perundangan dan perkhidmatan undang-undang membabitkan agensi di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Ini bagi meningkatkan akses keadilan dan membantu dalam kecekapan proses kerja agensi.

“Bagi pembangunan modal insan dalam sektor perundangan, usaha reformasi membabitkan penubuhan akademi kehakiman secara pentadbiran di bawah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang antara lain bertujuan menyediakan latihan bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran profesional hakim mahkamah atasan, sekali gus meningkatkan kualiti institusi kehakiman,” katanya.

Katanya, akademi kehakiman juga bertindak melaksanakan kajian perbandingan berpandukan amalan terbaik negara-negara luar khususnya dari aspek struktur, kawalan dan pengoperasian.

Related posts

Leave a Comment