PUTRAJAYA 25 Feb. – Sebanyak 24 juta kampit Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) akan mula dijual dalam pasaran di seluruh Semenanjung mulai 1 Mac ini.
Bagaimanapun BPT itu hanya akan dijual kepada 400,000 keluarga miskin sahaja dengan dua pek bagi setiap ketua isi rumah (KIR) mengikut tatacara ditetapkan.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata sebanyak 24 juta kampit akan mula dijual menerusi projek rintis untuk tempoh enam bulan itu dengan menyasar 400,000 KIR miskin, termasuk 77,000 KIR miskin tegar.
“ BPT bersubsidi ini akan mula berada di pasaran bermula 1 Mac iaitu pada hari pertama Ramadan dan akan berakhir pada 31 Ogos ini, untuk tempoh enam bulan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi memastikan bekalan BPT mencukupi di pasaran.
Peruntukan terbabit susulan penetapan harga lantai belian padi yang diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik.
Menurut Badrul Hisham, setiap KIR hanya dibenarkan membeli dua kampit beras bagi setiap pembelian dengan arahan khusus tatacara penjualan beras akan diberikan kepada setiap peruncit untuk memastikan bekalan berkenaan dijual kepada mereka yang disasarkan.
Katanya, bekalan itu boleh didapati di 36,000 peruncit berlesen dengan tumpuan antaranya di kawasan miskin bandar.
“Kita sedar ada ‘pro and cons’, kali ini kita bergerak menggunakan kaedah sedia ada, kita tidak mengganggu jenama yang sudah ada di pasaran tetapi dari segi kawalan, kita menggunakan dua lapisan iaitu pertama secara organik iaitu pemantauan serta penguatkuasaan dan kedua akan ada tag keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, biarpun BPT akan berada di pasaran 1 Mac ini, pihaknya merancang mengadakan jualan bekalan berkenaan lebih awal iaitu pada Khamis ini menerusi Program Jualan Agro MADANI di Kedah yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pada program berkenaan, sebanyak 20,000 kampit BPT akan dijual kepada kira-kira 7,000 pengunjung yang dijangka menghadiri program berkenaan.
Dalam pada itu, kerajaan memberi jaminan, BPT bersubsidi itu tidak akan ‘ghaib’ dari pasaran susulan pihaknya mempunyai mekanisme memastikan setiap kampit beras dijual, sampai kepada pengguna yang disasarkan.
“Dari segi kawalan, kita menggunakan dua lapisan iaitu pertama secara organik iaitu pemantauan serta penguatkuasaan dan kita ada Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agro Makanan Malaysia (MAREA) yang baru ditubuhkan dan diluluskan oleh Kabinet pada 7 Februari lalu.
Kedua menggunakan sistem pengesanan beras secara digital yang mana sistem ini akan mengesan, menjejak setiap kampit beras yang dijual, ke mana beras itu pergi, ke destinasi A atau destinasi B,” katanya.
Badrul Hisham bagaimanapun tidak memperincikan perkara itu, namun pihaknya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Apa yang saya boleh cakap, sistem ini boleh menjejak dan mengesan setiap manipulasi yang cuba dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dan ini kita menggunakan kemajuan teknologi AI.
“Kita ada ‘war room’ beroperasi 24 jam dan dengan sistem AI membantu buat ‘tracing and tracking’ (penjejakan dan pengesanan), maka (kita yakin) subsidi ini akan menitik terus kepada kumpulan sasar,” katanya.
Nnnn