BAGAN 23 Feb. – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, akan mempertahankan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada pemilihan DAP, 16 Mac ini selepas namanya dicalonkan untuk bertanding.
Bekas Pengerusi DAP Pulau Pinang negeri itu percaya ada ruang tertentu bagi mengekalkan jawatan disandang, sekali gus mewakili suara akar umbi memandangkan ada beberapa pemimpin kanan menarik diri daripada bertanding.
“Saya mengesahkan bertanding untuk pemilihan jawatankuasa tertinggi. Semasa nama saya dicalonkan Pusat, saya tidak tarik balik macam pemilihan negeri tahun lalu.
Berapa nama dicalonkan saya tidak tahu kerana ia diuruskan ibu pejabat namun dimaklumkan ada beberapa pemimpin kanan menarik diri,” katanya yang mula menjadi ahli CEC sejak 2001.
Beliau ditemui pemberita Sempena Pembukaan Rasmi Loji Penyahairan Sungai Dua (SDDP) di Loji Rawatan Air Sungai Dua di sini, hari ini.
Kon Yeow sebelum ini menyandang jawatan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dan menerajui parti itu di Pulau Pinang selama 25 tahun.
Pada 5 Ogos tahun lalu, beliau mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan menarik diri daripada pemilihan parti dalam Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang.
DAP Pulau Pinang kini dipimpin Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.
Pemilihan CEC sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18 akan menyaksikan 30 calon bakal mengisi tempat dan setakat ini empat veteran mengumumkan tidak mempertahan jawatan bagi memberi laluan kepada pimpinan baharu.
Empat veteran itu adalah Naib Pengerusinya, M Kulasegaran, penasihat DAP, Tan Kok Wai, Bendahari DAP, Fong Kui Lun serta ahli CEC, Phee Boon Poh.
Pada pemilihan lalu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan memperoleh undi kedua tertinggi dengan 1,641 undi, di belakang Gobind Singh Deo yang memperoleh undi tertinggi iaitu 1,782 undi.
Nnnn
