IPOH 23 Feb. – Notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selasa ini berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin.
Speaker DUN Perak, Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, makluman secara rasmi kepada SPR itu dibuat mengikut proses Undang-undang Tubuh negeri serta Perlembagaan negara bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
“InsyaAllah minggu depan kita akan maklumkan kepada SPR seperti mana dahulu pernah jadi di DUN Slim,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan kediaman Allahyarham Ishsam di Desa Seri Ampang, di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar, Saarani Mohamad yang juga Pengerusi UMNO Negeri berkata, pemergian Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah bermakna satu PRK akan diadakan memandangkan tempoh perkhidmatan Ishsam tidak cukup tiga tahun.
Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak akan meminta jentera parti serta BN di Tapah bersiap sedia lebih awal.
“Saya juga maklumkan kepada seluruh ahli UMNO Tapah supaya kita reda dengan ketentuan Allah SWT ini dan dengan pemergian Allahyarham bermakna satu PRK akan dilakukan, sebab dia dalam tempoh tidak cukup tiga tahun.
“Kalau SPR bermesyuarat dan putuskan bila dalam tempoh 60 hari ini kena adakan PRK, maka kepada rakan saya ahli UMNO dan penyokong BN di Tapah saya minta mereka kena bersiap sedia lebih awal kerana kita tak dapat elak hadapi PRK,” katanya.
Terdahulu, jenazah Ishsam yang disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, tiba di kediamannya di sini pukul 12.30 tengah malam tadi selepas dibawa pulang dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira 10.40 malam tadi.
Ishsam, 59, yang pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden dan Penolong Pengurus skuad senior Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dilapor meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, di Georgetown petang semalam.
Allahyarham dikatakan rebah selepas bermain dalam pertandingan bola sepak persahabatan dengan bekas pemain empat negeri, Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis, ketika berbual dan bergambar dengan beberapa rakan bekas pemain dari beberapa negeri sekitar pukul 6 petang.
Nnn