SUNGAI PETANI 23 Feb. – Himpunan Aman Rakyat Bangkit Kembalikan Subsidi 2.0 di tapak parkir Menara Jam Besar Sungai Petani semalam berikrar akan terus berjuang demi kelangsungan kehidupan rakyat yang tertekan akibat kos sara hidup yang terus meningkat.
Melalui Perisytiharan Demi Rakyat, Putra yang menganjurkan siri perhimpunan itu mendakwa harga barang keperluan asas dan pelbagai caj perkhidmatan meningkat dengan ketara.
Keadaan dijangka lebih teruk apabila rasionalisasi subsidi diesel dan petrol RON95 bakal dilaksanakan sekitar Mei atau Jun di mana semuanya serba serbi meningkat secara luar biasa yang tidak pernah berlaku sejak 67 tahun lalu.
Justeru Putra mendesak kerajaan mengembalikan semula semua bentuk subsidi yang selama ini dinikmati rakyat terutama, diesel serta mencadangkan kerajaan membatalkan hasrat rasionalisasi subsidi petrol RON95.
Putra menegaskan cara untuk menambah pendapatan negara bukan dengan rasionalisasi pelbagai subsidi dan lain-lain caj tetapi adalah dengan melaksanakan kembali cukai GST yang terbukti berkesan serta menambah pendapatan negara.
Perhimpunan semalam adalah yang kedua diadakan selepas kali pertama berlangsung di pekarangan Pasar Tani Taman Tasik Cyberjaya pada 26 Januari lalu.
Hadir sama pada perhimpunan semalam adalah Presiden Putra Dr Ibrahim Ali dan Timbalan Presiden Dr. Aziz Jamaluddin Mhd Tahir.
Kehadiran orang awam dan pengunjung adalah sekitar 200 orang dan himpunan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga keadaan kos sara hidup rakyat pulih sediakala.
Nnn
