Tindakan Poay Tiong diselar rakan

SEPANG 20 Nov.  – Dua pemimpin DAP dan PKR menyelar tindakan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, yang mempersoal arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berhubung penutupan operasi premis perniagaan selama dua jam setiap hari Jumaat.

Ahli Parlimen Bentong dari DAP, Young Syefura Othman dan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim menggesa Poay Tiong tidak mencampuri urusan pentadbiran di negeri lain.

Young Syefura yang juga Naib Ketua Wanita DAP Kebangsaan berkata, Poay Tiong tidak sepatutnya mencampuri urusan berkaitan Melayu dan Islam, selain cuba mengatur pentadbiran negeri lain.

“Hal Melayu Islam nak dicampuri, urusan negeri orang pun nak diatur. Pandai-pandailah baca keadaan.

Kalau setiap kali masuk campur, orang makin menyampah dan makin menjauh. Mungkin sudah tiba masa untuk belajar jaga urusan sendiri,” katanya menerusi hantaran di Threads, hari ini.

Terdahulu, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka membangkitkan kebimbangan mengenai arahan penutupan premis antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap hari Jumaat.

Beliau mendakwa pelaksanaan peraturan secara menyeluruh boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam

Poay Tiong turut mengaitkan arahan berkenaan dengan pendekatan dasar agama konservatif dalam pentadbiran awam serta kepemimpinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Mereka yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, dipenjara selama setahun atau kedua-duanya. Selain itu, majlis bandar raya mempunyai kuasa untuk menarik balik lesen perniagaan dan memerintahkan penutupan kedai.

“Apabila peraturan berkenaan dikenakan kepada semua perniagaan, kebebasan perniagaan dan gaya hidup bukan Islam tidak dapat dielakkan daripada terjejas, dan ini adalah kebimbangan bagi semua sektor masyarakat.

“Kami menghormati solat Jumaat, tetapi dasar lebih menyeluruh harus dilaksanakan untuk mengelakkan kesan kepada pekerjaan bukan Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, MBKT ketika menjelaskan pelaksanaan arahan sama pada Januari 2024 memaklumkan ia membabitkan pasar raya, restoran, kedai makan dan gerai makanan milik orang Islam.

Premis makanan milik bukan Islam dibenarkan beroperasi seperti biasa, kecuali jika mempunyai pekerja Islam, manakala kelonggaran boleh dipohon bagi premis yang diuruskan pekerja wanita.

Arahan penutupan operasi selama dua jam itu dilaksanakan bagi memberi ruang kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Sementara itu, Adam Adli menggesa Poay Tiong menarik balik kenyataan dan membuat permohonan maaf berhubung isu arahan penutupan sementara premis perniagaan pada waktu solat Jumaat di Kuala Terengganu.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Adam Adli menyuarakan rasa tidak bersetuju dengan kenyataan itu sambil menasihatkan beliau menghormati kedaulatan undang-undang negeri serta sensitiviti beragama di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu menegaskan pelaksanaan arahan di bawah pentadbiran kerajaan Terengganu itu adalah urusan pentadbiran yang mempunyai asas perundangan sah menerusi enakmen negeri, selaras dengan bidang kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun wujud perbezaan pendapat dalam menafsirkan asas penubuhan sesuatu undang-undang, peraturan itu terhasil daripada prinsip persetujuan majoriti dan mandat rakyat Terengganu kepada badan legislatif serta eksekutif negeri untuk menggubalnya.

“Maka kita wajib hormati mandat terbabit seperti mana kita mahu orang hormati mandat yang diberi kepada kita,” katanya.

Dari sudut agama pula, Adam Adli menjelaskan lelaki Muslim yang wajib menunaikan solat Jumaat dituntut meninggalkan urusan jual beli apabila tiba waktunya.

Justeru, beliau menegaskan perkara itu bukan sekadar amalan budaya atau adat semata-mata, sebaliknya tuntutan agama yang berkait secara langsung dengan pelaksanaan ibadah.

“Dalam masyarakat majoriti Muslim, pelaksanaan dasar yang bertujuan memelihara kewajipan ini juga adalah amalan yang diterima baik dan wajar difahami dalam konteks kehidupan beragama masyarakat setempat.

“Sebarang perbahasan mengenai perbezaan pandangan terhadap sesuatu dasar mestilah berasaskan kefahaman terhadap undang-undang, tuntutan agama dan sensitiviti masyarakat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment