SEREMBAN 20 Nov. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Ismail Lasim yang dilapor meletak jawatan baru-baru ini perlu menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ADUN untuk terus memegang jawatan Menteri Besar.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan juga menjelaskan, adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan Istana mahu Ismail kekal sebagai Menteri Besar memandangkan beliau sendiri menegaskan tidak meletakkan jawatan.
Menurut kenyataan itu, pihak Istana akan mematuhi sepenuhnya konvensyen dan peruntukan perlembagaan.
“Merujuk kenyataan Istana bertarikh 17 November 2026 berhubung surat peletakan jawatan Ismail bertarikh 16 November 2026 yang dihantar ke Istana Hinggap, selain laporan media hari ini.
Sebagaimana dimaklumkan dalam kenyataan tersebut, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan oleh Ke Bawah Duli Tuanku, dan pihak Istana belum mengesahkan surat tersebut,” menurut kenyataan itu.
Dalam majlis menghadap pada pagi ini, yang turut dihadiri oleh Dato’-Dato’ Undang, Ismail telah menyatakan bahawa beliau tidak mengemukakan surat tersebut dan tidak bersetuju surat itu dikemukakan.
“Beliau telah menyatakan perkara yang sama dalam sidang media hari ini. Oleh kerana beliau sendiri menyatakan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan, adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa pihak Istana mahu beliau kekal sebagai Menteri Besar,” menurut kenyataan itu.
Selain itu kata Pengelola Bijaya Diraja, Ismail perlulah mengemukakan senarai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan Tuanku Muhriz.
“Setelah perkara ini disempurnakan, tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri dan pembentangan Belanjawan Negeri akan ditetapkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Ke Bawah Duli Tuanku berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,”kata kenyataan itu.
Nnn
