Israel tangguh pembebasan tahanan

BAITULMAQDIS – Israel menangguhkan pembebasan tahanan Palestin di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza susulan upacara memalukan oleh pejuang Hamas  ketika menyerahkan tebusan Israel.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, hari ini mengumumkan pembebasan tahanan Palestin di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza akan ditangguhkan sehingga pejuang Hamas menghentikan upacara memalukan yang diadakan ketika menyerahkan tebusan Israel.

Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan berkata, pembebasan akan ditangguh sehingga pejuang Hamas menghentikan upacara memalukan itu.

Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza pada 19 Januari lalu, Hamas sudah membebaskan 25 tebusan Israel dalam upacara yang tersusun rapi, di mana pejuang Hamas menggunakan topeng mengarak tebusan berkenaan di atas pentas, memaksa mereka melambai ke arah penduduk Gaza yang berkumpul serta berucap menggunakan mikrofon.

Dalam upacara itu, tebusan diberikan sijil dalam bahasa Ibrani sebagai tanda berakhirnya tempoh penahanan mereka sebelum diserahkan kepada pegawai Palang Merah yang kemudiannya menyerahkan mereka kepada pihak Israel.

Khamis lalu, Hamas turut menyerahkan mayat tiga tebusan dalam keranda ketika upacara serupa yang mendapat kecaman meluas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Perarakan mayat seperti yang dilihat pagi itu adalah keji dan kejam, serta bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,” kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk.

Hamas menolak gesaan berulang kali oleh Palang Merah supaya tebusan dibebaskan secara tertutup.

Semalam, Hamas membebaskan enam tebusan Israel sebagai sebahagian daripada pertukaran tebusan-tahanan pusingan ketujuh di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata manakala, Israel sepatutnya membebaskan lebih 600 tahanan Palestin.

Bagaimanapun, sejurus selepas tebusan dibebaskan, sumber Israel berkata Netanyahu dijangka membuat keputusan mengenai pembebasan tahanan Palestin.

Related posts

Leave a Comment