37,683 Pemilih baharu sepanjang Januari

PUTRAJAYA 21 Feb. – Sebanyak 37,683 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu dalam tempoh 1 hingga 31 Januari 2025.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  Ikmalrudin Ishak berkata, semakan boleh dibuat melalui Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2025 (DPT BLN1/2025) yang diwartakan hari ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, semakan boleh dibuat untuk tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 22 Mac.

Selain pemilih baharu,  DPT BLN1/2025 juga mengandungi 7,957 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,249 pemilih bertukar kategori pengundi atau status.

“SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Januari 2025 dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2025,” katanya.

Ikmalrudin berkata lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.myatau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218.

Beliau berkata sekiranya pemilih mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment