Larangan jual gula-gula kenyal berbentuk mata

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Penjualan produk gula-gula kenyal atau ‘gummy’ berbentuk mata, dilarang di semua platform dalam talian mahupun pasaran domestik.

Siasatan mendapati  produk itu menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 (Akta 281).

Justeru Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan, tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk terbabit, akan dibuat berdasarkan peraturan berkenaan.

“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) ingin memaklumkan bahawa saiz atau bentuk sesuatu makanan adalah tidak dikawal bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 Akta 281.

Bagaimanapun, ‘konfeksi jeli terkawal’ dengan saiz dan bentuk berdiameter kurang atau sama dengan 45 milimeter hendaklah dilabel dengan ‘AMARAN: BOLEH MENYEBABKAN RISIKO TERCEKIK’ dan perkataan ‘TIDAK SESUAI BAGI KANAK-KANAK DI BAWAH UMUR 3 TAHUN’,” katanya.

Dalam pada itu KKM menzahirkan perasaan simpati dan ucapan takziah kepada keluarga Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, yang meninggal dunia selepas tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.

Murid Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua itu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sebelum itu, mangsa berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP setelah dikatakan rebah dipercayai akibat tercekik gula-gula kenyal yang dibeli di luar sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth, kira-kira pukul 2.30 petang Selasa lalu.

Bapa mangsa, Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, kemudian dipetik berkata hasil bedah siasat telah mengesahkan anaknya maut akibat tercekik gula-gula.

Mohamad Fakhruddin turut memaklumkan bahawa pada sijil kematian mangsa tertera punca kematian adalah ‘hypoxic-ischemic encephalopathy consistent with choking complication pneumonia.’

Hypoxic-ischemic encephalopathy atau HIE merujuk kepada kecederaan otak disebabkan kekurangan oksigen, yang mana punca kematian adalah konsisten dengan komplikasi pneumonia akibat tercekik.

Sementara itu, KKM turut meminta orang ramai, terutama ibu bapa, memantau serta menasihati anak masing-masing supaya lebih berhati-hati memilih makanan, khususnya yang mempunyai risiko tercekik.

Menurutnya, ini kerana bahaya tercekik adalah risiko yang signifikan, terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

“Risiko itu meningkat apabila makanan tidak dikunyah dengan sempurna atau ditelan secara keseluruhan.

“Insiden tercekik lebih kerap berlaku dengan makanan keras, kenyal, kecil dan berbentuk bulat yang mudah tersekat di saluran pernafasan. Pengambilan apa-apa makanan oleh kanak-kanak hendaklah berada bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment