Lagi tebusan dibebas Khamis

BAITULMAQDIS – Perunding utama kumpulan Hamas, Khalil al-Hayya, berkata pihaknya akan membebaskan baki tahanan, warga Israel yang masih hidup pada 22 Februari,  berjumlah enam orang.

Hamas juga akan menyerahkan empat jenazah Khamis ini, antaranya keluarga Shiri Bibas, kumpulan pertama tebusan yang meninggal dunia dikembalikan ke Israel.

Bagaimanapun keluarga tebusan Shiri Bibas dan anak lelakinya Ariel dan Kfir, kanak-kanak Israel terakhir yang masih ditahan di Gaza, berkata mereka tidak pasti dengan berita itu dan belum menerima ‘pengesahan rasmi’ kematian ketiga-tiganya.

Hamas sebelum ini berkata, Shiri Bibas dan kanak-kanak itu terbunuh dalam serangan udara Israel pada November 2023, tetapi Israel belum mengesahkan kematian mereka walaupun sudah mengesahkan lapan kematian lain.

Seramai 33 tebusan Israel dijangka dibebaskan di bawah fasa pertama gencatan senjata Gaza rapuh yang berkuat kuasa bulan lalu, dengan 19 tebusan sudah dibebaskan setakat ini sebagai pertukaran untuk lebih 1,100 tahanan Palestin.

Sementara itu, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengesahkan ketika rundingan tidak langsung di Kaherah bahawa ‘perjanjian sudah dicapai’ untuk penyerahan enam tebusan yang masih hidup pada Sabtu, selain empat jenazah pada Khamis dan empat lagi minggu depan.

Semalam, tentera Israel mengeluarkan kenyataan menggesa orang ramai supaya tidak menghiraukan apa yang dipanggil ‘khabar angin tidak disahkan’ mengenai tebusan, tanpa mengulas lanjut.

Kumpulan kempen Israel, Forum Tebusan dan Keluarga Hilang, menerbitkan nama enam tebusan yang masih hidup yang akan dibebaskan pada Sabtu, mengatakan ia ‘menyambut dengan kegembiraan kepulangan Eliya Cohen, Tal Shoham, Omer Shem Tov, Omer Wenkert, Hisham Al-Sayed dan Avera Mengistu’.

Nnn

Related posts

Leave a Comment