JOHOR BAHRU 16 Feb. – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memuji keterbukaan Anwar Ibrahim yang tidak menghalang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR dipertandingkan pada pemilihan parti Mei depan.
Katanya, keterbukaan Presiden PKR itu menunjukkan kematangan berpolitik, menyuburkan amalan demokrasi dalam parti, sekali gus memberi peluang kepada lebih satu juta ahli menentukan kepimpinan tertinggi parti berkenaan.
Sambil menyifatkan ia langkah demokratik dan amat positif, Hassan berkata langkah itu wajar dijadikan contoh.
“PKR adalah parti demokrasi dan bukan setiap hari kita adakan pemilihan, sebaliknya tiga tahun sekali. Ini amat positif dan memberikan gambaran yang baik kepada anak muda serta mereka akan berminat dengan PKR.
Kita harap perkara ini (amalan seperti ini) akan diteruskan bukan saja dalam pemilihan kali ini tetapi juga pemilihan pada tahun akan datang,” katanya selepas Rumah Terbuka PKR Johor, di sini, hari ini.
Semalam, Anwar dilaporkan menyerahkan kepada PKR untuk memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi parti itu perlu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan akan datang.
Anwar dilaporkan berkata, beliau menghormati aspek demokrasi dalam parti itu dan tidak akan mencampuri urusan berkenaan.
Sebelum ini, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Shamsul Iskandar Md Akin dilaporkan berkata, PKR mungkin tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang ketika ini masing-masing disandang Anwar dan Rafizi Ramli.
Bagaimanapun ada suara akar umbi yang mahu dua jawatan tertinggi itu tetap dipertandingkan walaupun ada yang bersetuju dengan syor berkenaan.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, dua jawatan tertinggi PKR itu perlu dipilih secara amalan biasa dan sesiapa pun dalam parti dibenarkan bertanding.
“Biarkan dua jawatan tertinggi itu dipertandingkan, jika ada ahli parti nak lawan, lawanlah, bagi mereka bertanding,” katanya.
