KUALA LUMPUR 15 Nov. – Laman web www.thijari.ticketmysearch.com adalah palsu dan bukan di bawah kendalian Tabung Haji (TH).
TH dalam satu hantaran di Facebook hari ini, menasihati pendeposit supaya tidak terpedaya dengan pelbagai taktik scammer , dan hanya melayari alamat laman web yang betul.
“THiJARI boleh diakses menerusi https://www.thijari.com.my Kalau Curiga, Jangan Percaya. Pendeposit dinasihati untuk sentiasa peka dan berhati-hati dengan pautan yang mencurigakan,” menurut hantaran itu.
Laman web THiJARI ialah platform dalam talian bagi perkhidmatan kepada pendeposit untuk pelbagai urusan, termasuk menyemak akaun, mencetak penyata akaun, pindahan wang dan perkhidmatan haji.
