PUCHONG 14 Feb. – Kerajaan menolak cadangan Ahli Parlimen DAP dari Raub, Chow Yu Hui supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecah kepada dua.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini memadai dengan menteri dan jawatankuasa sedia ada yang menguruskan hal ehwal Islam serta agama lain.
Katanya, Jemaah Menteri juga tidak bersetuju dan kenyataan Ahli Parlimen Raub itu adalah suara peribadi tidak dipersetujui oleh mana-mana dalam kerajaan apa lagi dalam Jemaah Menteri.
“Soal pelantikan ini seperti yang kita tahu budi bicara Perdana Menteri dan itu tidak termasuk dalam perkiraan.
“(Sekarang sudah) Ada menteri agama, ada menteri perpaduan dan ada jawatankuasa harmoni yang mewakili semua kaum, semua agama. Saluran itu memadai,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam di sini, hari ini.
Sementara itu, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, DAP tidak pernah membangkitkan mengenai pemecahan portfolio hal ehwal agama di negara ini, sebaliknya isu itu hanya membabitkan pendirian peribadi.
“Cadangan dibangkitkan Ahli Parlimen Raub turut dibincangkan pada mesyuarat hari ini dan ia tidak pernah berbangkit, malah ketua parti DAP sendiri menyatakan ia bukan pendirian mereka, sebaliknya pendirian peribadi Yu Hui.
“Jadi, ia juga bukan pendirian parti dan Kabinet sendiri tidak pernah membangkitkan perkara ini,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.
Kelmarin, Yu Hui yang juga Ahli Parlimen blok kerajaan dilaporkan mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.
Ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Yu Hui menyarankan ia dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
“Beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai exco hal ehwal bukan Islam, jadi peringkat Persekutuan juga boleh mencontohi langkah ini bagi menjamin hak semua rakyat.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Kementerian Perpaduan mempunyai mekanisme berkaitan jawatankuasa harmoni yang mengumpulkan wakil daripada pelbagai agama di Malaysia bagi membincangkan isu berkaitan perpaduan kaum.
“Jadi saya rasa cadangan beliau tidak berbangkit dan tidak ada keperluan (pemecahan portfolio),” katanya pada sidang media.