Kerja separuh hari Jumaat Ramadan

KUANTAN 14 Feb. – Waktu bekerja bagi penjawat awam di negeri ini pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan akan berakhir pada pukul 12.30 tengah hari, demikian titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, Kerajaan Pahang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 6/2025 pada 5 Februari lalu bersetuju dan meluluskan cadangan itu.

“Keputusan dan kemudahan yang diberikan ini adalah untuk memberi peluang kepada penjawat awam memanfaatkan lebih masa bersama keluarga sepanjang Ramadan, di samping memuliakan Jumaat penghulu segala hari,” titah baginda.

Al-Sultan bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Pahang Kali Ke-68 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, malam tadi.

Turut berangkat Tengku Panglima Raja, Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah. Hadir sama Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis itu, baginda menitahkan masyarakat Islam mengambil peluang mendekatkan diri kepada al-Quran serta memperbanyakkan tilawah, tadabbur dan mengamalkan ajarannya di dalam kehidupan.

Titah baginda, Ramadan yang bakal tiba turut menjadi waktu dan medan terbaik untuk kembali kepada fitrah dan mengurangkan tumpuan kepada isi hal dunia.

“Saya juga tidak terlepas dalam menghidupkan pembacaan al-Quran dan mentadabbur ayat suci al-Quran bersama-sama pegawai dan staf di Istana Abdulaziz.

“Sesungguhnya, al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi difahami dan dihayati maknanya. Ilmu al-Quran ini wajib dipelajari secara bertalaqi, sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diajarkan oleh malaikat Jibril,” titah baginda.

Pada majlis berkenaan Baginda turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang dan juga jemaah hakim.

Ahmad Yaseer Mohd Najid muncul sebagai Johan Qari dengan memperoleh markah sebanyak 95.50, manakala kategori Qariah dimenangi Siti Fatimah Mohd Noor dengan markah 95.75.

Nnn

Related posts

Leave a Comment