Perjanjian 5 tahun TH-Saudia

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Saudia Airlines (Saudia) memeterai perjanjian penerbangan sewa khas haji selama lima tahun bersama Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyediakan operasi membawa jemaah dari Malaysia.

Majlis yang berlangsung di Menara TH di sini ditandatangani Pengurus Besar, Pengurusan Hasil dan Jualan Haji dan Umrah Saudia, Amer G Alghamdi, manakala TH pula diwakili Ketua Jabatan Haji, Mohd Hisham Harun.

TH dalam kenyataanya memaklumkan, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman turut hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian berkenaan.

Syed Hamadah berkata, kerjasama yang terjalin sebelum ini diperkukuhkan lagi dengan pelantikan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran operasi penerbangan jemaah haji negara.

TH berkeyakinan syarikat Saudia dapat membantu TH dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan terbaik demi keselesaan dan kelancaran perjalanan jemaah haji.

“Atas dasar itu, kami meneruskan kerjasama untuk jangka panjang kerana syarikat ini sudah menunjukkan rekod prestasi yang cemerlang pada musim-musim haji sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi musim haji 1446H/2025M, Saudia akan menyediakan 45 penerbangan pergi dan balik dengan kapasiti penumpang sebanyak 357 orang bagi setiap pesawat untuk menerbangkan 50 peratus daripada jumlah keseluruhan 31,600 bakal jemaah haji secara berperingkat.

Katanya, semua penerbangan sewa khas itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarbangsa Prince Mohammad Abdulaziz di Madinah.

Penerbangan pertama dijadualkan pada 29 April ini.

Related posts

Leave a Comment