Ingatlah,Islam agama rasmi negara

KUALA LUMPUR 13 Feb. –  Ketua Pembangkang, Hamzah Zanudin menegaskan, pelantikan menteri bagi hal ehwal agama diberikan kepada individu beragama Islam selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Katanya, Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui yang mencadangkan jawatan menteri itu dipecah dua kepada bukan Islam perlu lebih peka tentang perkara tersebut.

“Dia kena ingat negara kita ini agama Islam adalah agama rasmi. Sebab itu kita lantik seorang yang beragama Islam untuk melihat tentang kedudukan tentang agama Islam sebab ia merupakan agama yang rasmi,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen.

Pada Rabu, Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Katanya, beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai Exco hal ehwal bukan Islam dan menyarankan kerajaan Persekutuan mencontohi langkah tersebut untuk menjamin hak semua rakyat.

Hamzah berkata, kerajaan sudah pun mempunyai mekanisme bagi memastikan kebajikan penganut agama lain tetap terpelihara, termasuk melalui Kementerian Perpaduan yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan keharmonian antara kaum.

“Dalam keharmonian negara, kita juga ada Kementerian Perpaduan, di mana di situ boleh dibincangkan bagaimana untuk membantu mereka yang mempunyai kepercayaan agama lain.

“Begitu juga dengan kedudukan budaya mereka yang boleh kita lihat sebagai sesuatu yang boleh kita pasarkan, supaya orang luar datang dan melihat kepelbagaian negara kita,” jelasnya.

Sebelum ini, cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri perayaan orang bukan Islam mencetuskan kontroversi susulan reaksi pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin di negara ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment