HANG TUAH JAYA 14 Nov. – Setakat pukul 9.40 malam, Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti mudah selepas memenangi 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum DUN (PRU DUN) Melaka ke-16.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ramlan Harun, berkata keputusan itu membolehkan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.
Beliau berkata, berdasarkan keputusan sehingga pukul 9.40 malam, BN memperoleh 15 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi dua kerusi dan Perikatan Nasional (PN) satu kerusi.
“Parti Barisan Nasional (BN) memenangi sejumlah 15 kerusi dari 28 kerusi yang diperuntuk dan dengan ini berjaya memperoleh suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertanding.
“Oleh itu, BN boleh membentuk kerajaan dengan keputusan majoriti mudah,” katanya pada sidang media SPR di Menara Persekutuan, di sini, hari ini
