Menang berturut bukan untuk bermegah

MELAKA 15 Nov. –  Barisan Nasional (BN) tidak mahu menjadikan kemenangan hatrik sebanyak tiga kali berturut-turut gabungan itu bersama Perikatan Nasional (PN) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sebagai alasan untuk mereka bermegah.

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan yang menyaksikan BN dan PN memenangi 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menunjukkan momentum gelombang biru yang bermula di Johor, Negeri Sembilan dan kini diperkukuhkan di Melaka.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pihaknya berharap gelombang terbabit mampu berkembang ke seluruh negara supaya rakyat boleh memilih kerajaan yang benar-benar mampu menjamin kestabilan dan harapan, bukan sahaja di Melaka, namun di negara ini.

“Kemenangan hatrik ini tiga kali berturut-turut bukan alasan untuk kita bermegah, sebaliknya kami menerima dengan penuh kesyukuran dan kerendahan hati serta keinsafan.

Kami sedar bahawa mandat diberikan membawa amanah besar untuk melunaskan setiap manifesto dan memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Melaka tanpa mengira agama bangsa dan latar belakang.

BN dan PN berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka dengan memenangi 24 kerusi…mandat melebihi dua pertiga majoriti membuktikan bahawa Melaka terus memilih rekod pencapaian dan kestabilan serta hala tuju pembangunan yang ditawarkan BN dan PN,” katanya pada sidang media di Command Centre BN, di sini.

Hadir sama, antaranya Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PN,  Takiyuddin Hassan.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang Timbalan Perdana Menteri berkata, PRN Melaka sekali lagi memperlihatkan persefahaman politik yang dibina dengan kemantapan dan keikhlasan yang semakin subur dan diterima rakyat secara keseluruhannya.

Related posts

Leave a Comment