PH terima dengan hati terbuka

MELAKA 14 Nov. – Pakatan Harapan (PH) menerima dengan hati terbuka keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka serta menghormati mandat rakyat, meskipun hanya memenangi empat daripada 24 kerusi yang ditandingi.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata keputusan itu akan dijadikan ruang untuk parti berkenaan menilai prestasi serta memperkukuh usaha dan gerak kerja, bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap gabungan itu pada masa hadapan.

“PH sentiasa percaya bahawa keputusan pilihan raya mempunyai dinamika tertentu dan boleh diperbaiki lagi pada masa hadapan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, di sini malam ini.

Beliau berkata PH juga akan membawa hasil keputusan PRN Melaka ke Mesyuarat Majlis Presiden untuk diteliti secara menyeluruh, termasuk mengambil kira perkembangan keputusan pilihan raya sebelum ini seperti Johor dan Negeri Sembilan.

“Saya fikir PH akan menjelaskan banyak perkara dan hasil daripada keputusan di Melaka pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu Adly mengakui kekalahannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil bukan satu kejutan kerana sudah menjangkakan defisit undi yang besar sebelum tempoh berkempen bermula.

Adly berkata, perkiraan awal sebelum pilihan raya menunjukkan beliau ketinggalan antara 5,000 hingga 6,000 undi, iaitu jurang yang gagal dirapatkan meskipun telah berkempen sepanjang tempoh 14 hari.

“Saya tidak terkejut kerana sejak awal lagi saya tahu saya ketinggalan agak jauh. Saya cuba mengejar sepanjang tempoh kempen 14 hari itu, namun masa yang ada tidak mencukupi,” katanya.

NNNN

Related posts

Leave a Comment