Tarif elektrik: 2 bekas PM senada 85 peratus terkesan

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Dua bekas Perdana Menteri mempersoalkan apakah jaminan kerajaan bahawa kenaikan tarif elektrik pada pertengahan tahun ini tidak memberi kesan terhadap 85 peratus isi rumah.

Muhyiddin Yassin (PN Pagoh) dan Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) senada menolak penjelasan Anwar Ibrahim dan mendakwa kenaikan tarif elektrik akan memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhan.

Ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Muhyiddin bertanya apakah jaminan kerajaan bahawa 85 peratus pengguna domestik tidak akan terjejas boleh dipercayai.

“Meskipun Tambun (Anwar) memberi jaminan kenaikan tarif elektrik hanya dikenakan kepada pengguna industri dan golongan ‘maha kaya’, realitinya kenaikan tarif asas elektrik sebanyak 14.2 peratus bagi tempoh kawal selia 4 (RP4) di bawah kerajaan sekarang jauh lebih tinggi berbanding kerajaan terdahulu.

“Apakah jaminan kerajaan bahawa 85 peratus pengguna domestik tidak akan terjejas boleh dipercayai,” soalnya.

Beliau berkata, kos operasi syarikat yang meningkat akibat kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan syarikat-syarikat memindahkan beban kos kepada pengguna akhir.

“Ini kerana jika kos operasi syarikat meningkat akibat kenaikan tarif elektrik, mereka tentunya akan memindahkan kos kepada pengguna akhir, iaitu rakyat yang akan menanggung beban kenaikan harga barang dan perkhidmatan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, menjelaskan kenaikan tarif elektrik hanya akan melibatkan pengguna industri dan golongan berpendapatan serta menegaskan majoriti rakyat tidak akan terkesan oleh kenaikan tersebut.

Sementara itu, Ismail Sabri pula berkata, lazimnya, tarif baharu akan menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan seterusnya dipindahkan kepada pengguna.

“Kerajaan telah menyatakan bahawa 85 peratus isi rumah tidak akan terjejas dengan kenaikan tarif elektrik pada pertengahan tahun ini.

“Kerajaan juga menyatakan bahawa kenaikan ini hanya melibatkan kira-kira 15 peratus golongan maha kaya dan industri.

Namun saya ingin tegaskan lumrahnya, kenaikan tarif elektrik ini akan menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan seterusnya dipindahkan kepada pengguna yang juga terdiri daripada 85 peratus isi rumah tersebut,” katanya.

Ismail Sabri turut membandingkan kadar kenaikan tarif elektrik sejak 2015 hingga 2022, dengan peningkatan yang berlaku hanya sekitar 3.7 peratus, daripada 38.53 sen per kilowatt kepada 39.95 sen per kilowatt.

Bagaimanapun, katanya tarif asas bagi tahun 2024 hingga 2027 mengalami lonjakan 14.18 peratus, meningkat daripada 39.95 sen per kilowatt kepada 45.62 sen per kilowatt.

Justeru beliau membangkitkan persoalan tentang perancangan kerajaan untuk mendepani kos sara hidup yang akan terus meningkat.

“Apabila Diesel naik, pengusaha akan salur kepada pengguna. Kesan tidak langsung, kos barangan akanmeningkat. Sekarang rakyat terbeban dengan kos sarahidup dan harga barang akan bertambah,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment