KUALA LUMPUR 13 Feb. – Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan menteri hal ehwal agama lain seperti dicadangkan Ahli Parlimen Raub dari DAP Chow Yu Hui semalam.
Justeru, beliau berharap semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan termasuk Perkara 3 yang sudah termaktub dalam menjaga keharmonian negara.
“Hormati Perlembagaan Perkara 3 berkaitan kedudukan Islam dan Raja-raja Melayu Pemelihara Islam. Tiada keperluan menteri hal ehwal agama lain. Menteri Perpaduan yang patut jalankan kerja,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Selain itu, katanya, tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus pengurusan agama selain Islam.
“Pandangan dan cadangan boleh dibuat namun akhirnya Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara adalah pemutus segalanya.
“Mungkin ada pula yang persoal bahawa perlembagaan boleh dipinda. Ya. Namun dalam hal melibatkan kedudukan Islam dan Melayu, syarat untuk meminda bukan sahaja Ahli Parlimen mesti cukup minima 148 orang (2/3 majoriti) menyokong pindaan tetapi yang paling penting mesti mendapat perkenanan Majlis Raja-Raja Melayu.
“DAP hanya ada 40 kerusi. Jadi boleh sekadar berkhayal sahaja jika mahu pinda Perlembagaan berhubung kedudukan Islam,” katanya.
Dalam pada itu, di ruangan komen, Dr Asyraf berkata, kenyataan itu adalah
pendirian tegas Presiden dan pimpinan UMNO.
“Bahkan bukan Islam dalam Kerajaan Perpaduan sama ada DAP, PKR, UPKO, parti-parti dalam gabungan Sabah GRS, parti-parti dalam gabungan Sarawak GPS, sudah menanda-tangan perjanjian untuk tidak sesekali melanggar Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam, keistimewaan Melayu-bumiputera, kedaulatan Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu,” tegas Dr Asyraf.
Semalam, Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Beliau menarik perhatian Dewan Rakyat, sudah ada Exco khusus untuk menjaga rakyat bukan Islam diwujudkan di beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.
“Saya mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu satu khusus urusan agama Islam dan hal ehwal bukan Islam.
Menteri ini (hal ehwal bukan Islam) boleh dilantik dalam kalangan pemimpin yang dihormati dalam kalangan bukan Muslim,” katanya
Nnnn
