Belum ada ketetapan beras putih Madani

PUTRAJAYA 17 Feb. – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) belum ada ketetapan ke atas cadangan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Menterinya, Mohamad Sabu, berkata KPKM bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semalam yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan datang.

“KPKM ingin menjelaskan kekeliruan yang berlaku susulan pengumuman yang dibuat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada 14 Februari 2024.

“Buat masa ini belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan beliau untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Rabu lalu, Syed Abu Hussin Hafiz selaku Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL memaklumkan, kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kg sekampit berkuat kuasa 19 Februari ini dan dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac.

Semalam, di Pulau Pinang Anwar berkata, isu harga kawalan beras akan dimuktamadkan pada mesyuarat khas NACCOL yang dijangka berlangsung minggu depan.

Beliau yakin harga beras yang dikawal dapat dikurangkan selepas beberapa perincian dan cadangan akan diteliti dalam mesyuarat khas itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment