Cadang wujud menteri hal ehwal bukan Islam

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Seorang penyokong kerajaan yang mewakili Pakatan Harapan (PH) mencadangkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkata, langkah itu penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.

Beliau menarik perhatian Dewan Rakyat, sudah ada Exco khusus untuk menjaga rakyat bukan Islam diwujudkan di beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

“Saya mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu satu khusus urusan agama Islam dan hal ehwal bukan Islam.

Menteri ini (hal ehwal bukan Islam) boleh dilantik dalam kalangan pemimpin yang dihormati dalam kalangan bukan Muslim,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini.

Menurut Chow, dua menteri agama di bawah Jabatan Perdana Menteri itu boleh membincangkan isu berkaitan secara lebih berkesan serta mengelakkan sebarang kontroversi yang tidak diingini.

Pada masa ini, isu berkaitan hubungan antara agama di peringkat persekutuan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perpaduan Negara.

Terdahulu, cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri perayaan orang bukan Islam mencetuskan kontroversi susulan reaksi pelbagai pihak diterima termasuk dalam kalangan pemimpin di negara ini.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kabinet telah memutuskan bahawa garis panduan yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tersebut tidak perlu.

Mengulas lanjut, Yu Hui berkata, cadangan itu juga secara tidak langsung membolehkan pengurusan agama di negara ini lebih adil.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment