KUALA LUMPUR 12 Feb. – Malaysia tidak terkesan dengan peraturan baharu kerajaan Arab Saudi yang tidak membenarkan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun menunaikan ibadat haji bagi tahun 1446H/2025M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ini kerana Lembaga Tabung Haji (TH) menetapkan syarat umur minimum jemaah tanah air yang layak menunaikan ibadat haji adalah mesti berusia 15 tahun.
“Jika kita lihat pengumuman kerajaan Arab Saudi, larangan itu untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Dalam konteks kita (Malaysia) TH meletakkan umur bagi menunaikan ibadat haji adalah umur baligh iaitu 15 tahun.
“Jadi (jemaah kita) tidak terkesan dengan peraturan baharu ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya selepas Majlis Penyerahan Biasiswa Pelajar Cemerlang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Menara MAIWP, di sini, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam kenyataannya, memaklumkan kanak-kanak kini tidak dibenarkan menyertai jemaah dalam peraturan baharu bagi musim haji 2025.
Langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada risiko berbahaya akibat kesesakan yang luar biasa setiap tahun semasa musim haji.
Mohd Na’im berkata, Malaysia menghormati peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan percaya ia dibuat selepas melakukan kajian mendalam dan bagi memastikan perjalanan haji berjalan dengan baik.
“Kemungkinan kita tengok pada tahun lalu apabila kanak-kanak kecil dibawa sekali, ketika musim haji dengan berjuta orang ada di Makkah…ada kemungkinan tak sesuai untuk anak-anak ini dengan suhu begitu panas.
“Ia akan menyebabkan kesukaran untuk ibu bapa yang bawa anak kecil dan begitu juga dengan perjalanan haji mereka.
“Arab Saudi bertanggungjawab pastikan ibadat haji dapat berjalan dengan baik dan sempurna. Insya-Allah bila anak ini dah sampai umur baligh, sampailah kewajipan utk tunai haji,” katanya.
Nnnn