SHAH ALAM 12 Feb. – Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap kenaikan harga tambang yang tidak masuk akal pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau memberitahu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memantau peningkatan harga tiket atau tambang bas ekspres itu.
Katanya, kerajaan sebelum ini sudah memberikan kebenaran kepada pengusaha bas ekspres untuk mengenakan surcaj 10 peratus kepada penumpang ketika musim perayaan, dan kawalan harga ini memang ada.
“Memang ada kawalan harga untuk tambang bas ekspres, jadi syarikat bas ekspres tidak boleh naikkan harga tambang sesuka hati,” katanya selepas majlis pecah tanah Exio Logistics Hub di Bandar Elmina, di sini, hari ini.
Katanya, bas ekspres dibenarkan untuk surcaj 10 peratus dan telah dilakukan berpuluh tahun lalu pada Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan perayaan lain
Beliau mengulas kebimbangan beberapa pengguna media sosial berhubung kenaikan tiket bas ekspres pada musim Perayaan Aidilfitri selepas mendakwa kenaikan itu telah berlaku semasa Tahun Baharu Cina, bulan lalu.
Loke pada 22 Mac 2024 dilaporkan berkata surcaj 10 peratus bagi tambang bas ekspres pada musim perayaan dibenarkan dengan mengambil kira beberapa aspek termasuk tambahan kapasiti perkhidmatan bas dan pembayaran bagi sewa bas.
Beliau berkata kenaikan surcaj 10 peratus bukan suatu perkara yang baharu namun telah dilaksanakan sejak 20 tahun lepas iaitu dibenarkan seminggu sebelum dan seminggu selepas hari perayaan.
Nnn