KUALA LUMPUR 10 Sept. – Wanita UMNO menggariskan lima prinsip dalam menghadapi apa juga bentuk kerjasama politik supaya ia tidak menghakis identiti parti, kata Ketuanya Noraini Ahmad.
Lima prinsip itu adalah jangan gadai asas perjuangan, jangan gadaikan maruah parti, jangan gadaikan kestabilan negara, jangan pinggirkan masyarakat majmuk Malaysia dan jangan sekali-kali gadaikan suara akar umbi.
Noraini berkata, UMNO boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak, namun kerjasama itu tidak boleh menyebabkan identiti parti terhakis.
“Kita boleh berkawan dengan sesiapa. Tetapi kita mesti tahu siapa diri kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Wanita UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Beliau berkata, kerjasama tidak boleh menghakis identiti dan identiti pula tidak boleh menjadi alasan untuk menolak kerjasama dan pada masa sama mesti bijak menjaga kedua-duanya.
“Ada masanya kita terlalu berhati-hati, hendak bercakap soal Melayu, takut orang kata kita terlalu Melayu, hendak bercakap soal Islam takut disalahkan, hendak mempertahankan UMNO tajut dikatakan tidak menjaga hati rakan,” katanya.
Noraini mempersoalkan sejak bila UMNO perlu memibta maaf kerana menjadi UMNO.
“UMNO lahir daripada kesedaran orang Melayu untuk mempertahankan masa depan agama, bangsa dan tanah air. UMNO lahir kerana sebuah bangsa tidak mahu kehilangan hak untuk menentukan masa depannya sendiri
Hari ini, ada pihak yang mengatakan bahawa perjuangan berasaskan agama dan bangsa sudah tidak lagi sesuai dengan perubahan zaman. Mereka mahu UMNO meninggalkan identitinya atas nama kemajuan.
Dari pentas ini, jawapan kita jelas. Ya, UMNO mempunyai identiti. UMNO lahir dengan identiti. UMNO membesar dengan identiti. Dan UMNO tidak akan membuang identitinya hanya untuk mendapatkan tepukan,” tegasnya.
