PH diminta lupakan hasrat bersama BN

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Pakatan Harapan (PH) diminta melupakan hasrat untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka sebaliknya bertanding di kesemua 28 kerusi.

Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya juga tidak sabar untuk berhadapan dengan PH.

Dr Muhamad Akmal kemudian bertanya kepada perwakilan sama ada mereka bersedia untuk berdepan PH dan yakin mampu memenanginya yang disambut dengan laungan “Boleh!” daripada perwakilan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di WTC petang ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kepemimpinan parti supaya membabitkan Pemuda UMNO dalam penyediaan manifesto BN bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sambil menegaskan keutamaan sayap itu adalah membantu membentuk dasar, bukannya mendapatkan peluang untuk bertanding sebagai calon.

“Soal calon, kalau kita dipilih, kita dipilih. Kalau tidak dipilih sekalipun, kita tetap akan bekerja bagi memastikan parti kita menang. Tetapi dalam menyediakan persiapan menghadapi pilihan raya akan datang, kita mahu turut terbabit dalam merangka manifesto,” katanya.

Dr Muhamad Akmal berkata, isu yang dibangkitkan oleh perwakilan perlu dimasukkan dalam manifesto BN, sambil menegaskan parti tidak boleh mengharapkan sokongan pengundi muda sekiranya sayap pemudanya sendiri diketepikan dalam proses itu.

Terdahulu, ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung sayap itu di sini, Dr Muhamad Akmal meminta kepemimpinan parti tidak menamakan PH sebagai rakan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut mengulangi kenyataan sebelum ini tidak akan menjadi calon kalau PH bersama BN di Melaka ini.

Katanya, UMNO perlu menggunakan kebijaksanaan dan menjadikan PRN Melaka sebagai platform pelaksanaan agenda penyatuan ummah demi sokongan akar umbi yang lebih kuat.

Beliau turut memberi gambaran pelaksanaan agenda penyatuan ummah pada PRN Melaka mampu mengekalkan BN sebagai peneraju kerajaan negeri dengan majoriti lebih besar.

“(PRN) Melaka bukan sekadar kita mahu hadapi pilihan raya, namun menjadi medan ujian kita, sama ada mampu menukarkan kesedaran menjadi dasar dan kehidupan. Di Johor, kita sudah mula dan Negeri Sembilan pun sudah dibuktikan. Kedua-dua negeri ini sudah menjadi ‘biru’.

“Maka minta jasa baik Datuk Seri (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Melaka juga wajib kita ‘birukan’,” katanya.

Dr Muhamad Akmal berkata, agenda penyatuan ummah berjaya meraih sokongan generasi muda apabila majoriti pengundi dalam kategori itu menyokong gagasan berkenaan.

“Hampir 95 peratus (pengundi bagi) saluran muda di Johor kita menang dan di Negeri Sembilan pula lebih 95 peratus pemilih di saluran sama, kita menang. Di Melaka, insya-Allah Pemuda UMNO sudah bersedia untuk mengulangi dan ‘membirukan’ bandar warisan dunia itu,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment