Pemuda Pas sedia adakan aktiviti bersama

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Pas bersedia menyahut rancangan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhammad Akmal Saleh bagi mengadakan perhimpunan pelbagai aktiviti melibatkan sayap pemuda kedua-dua parti berkenaan.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, beliau akan berbincang dengan lebih teliti bersama ketua sayap Pemuda UMNO itu bagi menjayakan agenda tersebut.

“Salam yang dihulur sama-sama kita sahut untuk membina penyatuan dan saya rasa senang hati dalam ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO telah menyebut dan menyahut seruan ke arah penyatuan dan sama-sama akan menggerakkan satu himpuan gerakan ummah.

“Insya-ALLAH kami akan duduk bersama bincang lebih teliti bagaimana kita hendak gerakkan aktiviti-aktiviti ke arah menjayakan penyatuan ummah,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Pemuda UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Mengulas mengenai perkembangan perbincangan antara kedua-dua pihak bagi menghadapi pilihan raya Melaka, beliau berkata, perbincangan kerjasama antara Pas dan UMNO diyakini lebih baik daripada Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.

Afnan Hamimi berkata, keyakinan itu bersandarkan perbincangan positif yang berlangsung antara kedua-dua pihak.

“Perbincangan (kerjasama PRN Melaka) masih berlangsung dan saya rasa ia akan lebih positif daripada di Negeri Sembilan dan juga di Johor. Insya-Allah semua itu adalah kejayaan-kejayaan yang akan membuahkan hasil dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya

Related posts

Leave a Comment