SUBANG JAYA 12 Feb. – Malaysia kekal dengan dasar ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna khususnya membabitkan penyedut minuman, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, pihaknya melihat tiada keperluan bagi penggunaan penyedut minuman plastik dalam kalangan pengguna, kerana wujudnya alternatif lain.
Itu pilihan negara masing-masing tetapi bagi Malaysia, dasar kita adalah ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna…macam penyedut minuman plastik itu sudah boleh menghala ke arah sifar penggunaan.
“Tak perlu pun (penyedut minuman plastik) tetapi ia sudah jadi kebiasaan, sedangkan kalau hendak pakai penyedut minuman, ada alternatif lain,” katanya selepas merasmikan Majlis ‘The Forgotten Stripes: Tapir Launch & Exhibition, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Presiden AS, Donald Trump, yang ‘mengisytiharkan perang’ terhadap penyedut minuman kertas dan mahu mengembalikan penggunaan plastik.
Agensi Berita Jerman (dpa) melaporkan Trump menandatangani perintah yang mengarahkan jabatan serta agensi kerajaan AS untuk tidak lagi memperoleh atau menggunakan penyedut minuman kertas pada masa hadapan.
Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, walaupun negara ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna, namun pihaknya maklum terdapat beberapa sektor antaranya perubatan yang masih perlu menggunakan bahan terbabit.
Atas dasar itu, katanya penggunaan plastik secara lestari perlu ditekankan selain meningkatkan pendekatan kitar semula.
“Berbalik pada soal ada plastik yang kita terpaksa guna dan ada yang tiada pilihan, justeru kita mempunyai senarai plastik ‘boleh dielakkan’ yang akan dijadikan panduan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Melalui RMK-13, kita melihat untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan bagi mewujudkan satu perundangan nasional berkaitan plastik dan sisa plastik bagi menyamakan pelaksanaan tindakan di seluruh negara dalam aspek itu,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan membuka sebuah lagi Pusat Konservasi Tapir kedua negara di Kenaboi, Negeri Sembilan, pada 2027 bagi memelihara populasi haiwan itu di negara ini.
Beliau berkata, sehingga kini negara mempunyai kira-kira 1,300 hingga 1,400 populasi tapir yang berdepan masalah kehilangan habitat dan kadar pembiakan rendah selain berdepan ancaman daripada manusia.
Nnn
