KUALA LUMPUR 12 Feb. – “Kami berazam menjadikan DAP pilihan popular masyarakat berbilang kaum Malaysia,” Itu hasrat pemimpin utama DAP, iaitu Setiausaha Agung Anthony Loke dan Naib Pengerusi Nga Kor Ming.
Kor Ming yang merujuk makan malam sempena Tahun Baharu Cina bersama Loke malam tadi berkata, mereka sepakat untuk berganding bahu membina parti DAP berbilang kaum yang kukuh, stabil, cekap, bersih serta menjana sinar HARAPAN baharu buat rakyat Malaysia.
“Sehubungan itu juga, kami bersetuju akan cekal terus membantu kerajaan PERPADUAN merealisasikan aspirasi Malaysia Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Era keemasan kebangkitan Malaysia kini sudah tiba, misi negara memerlukan usaha keringat setiap kita,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui satu hantaran di Facebooknya.
Turut disertakan gambar beliau bersama Loke yang juga Menteri Pengangkutan.
Menurut Kor Ming, pertemuan itu mengimbas kembali persahabatan mereka yang menjangkaui lebih dua darsawasa sejak menamatkan pengajian di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya pada 1997 dan Loke menyempurnakan kursus ijazah dari UKM.
“Ketika zaman muda, saya pernah diberi amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda DAPSY manakala Anthony (Loke) pula pernah menjadi Setiausaha Kebangsaan DAPSY.
Selepas lebih 25 tahun dalam perjuangan, kini beliau merupakan Setiausaha Agung parti manakala saya menyandang jawatan Ketua Parlimen DAP membantu beliau membina parti yang berpaksikan kepada prinsip demojratik, adil, bersih dan peduli.
Yang saling berubah jawatan, yang kekal sama pula adalah persahabatan sejati dan semangat setiakawan kita berdua. Sehati, senada, sejiwa,” kata Kor Ming.
Kor Ming menutup hantaran itu dengan kata-kata: “Perpaduan, kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara wajib kita bela dan jaga bersama. Semoga segala urusan dipermudahkannya,”.
Nnnn