PUTRAJAYA 10 Feb. – Turkiye menuntut Israel dan kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk membayar segala pampasan atas kerosakan dan kemusnahan yang dianggarkan berjumlah AS$100 bilion di Semenanjung Gaza.
Presidennya, Recep Tayyip Erdogan menegaskan anggaran kerosakan dan kemusnahan itu adalah dalam tempoh lebih 15 bulan perang di Gaza
“Kerajaan Israel mesti membayar pampasan atas kemusnahan yang mereka lakukan dan proses pembinaan semula di Gaza mesti dimulakan dengan ini,” katanya ketika menyampaikan syarahan umumnya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Erdogan menegaskan, selepas menyebabkan banyak kemusnahan, penderitaan dan kekejaman yang besar ini, Israel tidak boleh dibiarkan meneruskan perjalanannya seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Oleh itu, daripada mencari tempat untuk penduduk Gaza yang tidak dapat dicabutnya dari tanah mereka, walaupun 15 bulan pembunuhan beramai-ramai, Netanyahu harus mencari sumber untuk menampung AS$100 bilion kerosakan yang dilakukannya di Gaza,” katanya.
Berbekalkan pengalaman memulihkan wilayahnya dari kerosakan dan kemusnahan akibat gempa bumi pada 6 Februari 2023, Erdogan yakin usaha membangunkan semula Gaza dapat dijayakan dalam julat waktu yang singkat.
“Kita boleh mencapai kejayaan pembinaan dan pemulihan yang sama di Gaza. Sudah tentu, kita boleh membawa Gaza kembali bangkit dalam masa yang sangat singkat. Asalkan wang ini, yang rakyat Gaza sudah berhak mendapat, dikumpulkan dari Israel.
“Begitu juga rumah, tanah dan tempat kerja yang dirampas oleh negara Israel dan peneroka penyangak harus dikembalikan kepada rakyat Palestin,” katanya.
Erdogan berkata sebagai tambahan kepada pembinaan semula Gaza, adalah penting untuk semua negara meningkatkan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan bersepadu secara geografi dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
“Saya percaya bahawa semua ini adalah kewajipan persaudaraan dan hutang hati nurani kepada rakyat Palestin yang tertindas,” katanya.
Dalam pada itu, Erdogan menegaskan sistem yang direka bentuk sejak 80 tahun yang lalu dalam keadaan luar biasa serta didominasi oleh negara kuasa besar tertentu, tidak lagi sesuai dengan landskap geopolitik hari ini.
“Oleh itu, kita memerlukan pemahaman baharu dan susunan global baharu untuk menyelesaikan masalah kita daripada ekonomi kepada diplomasi, daripada perdagangan kepada keselamatan.
“Pembinaan sistem yang merangkumi semua orang, adil dan inklusif, dan berdasarkan kepercayaan adalah satu keperluan lebih daripada keutamaan.
“Moto kami -‘dunia lebih besar daripada lima (merujuk lima negara veto) sudah menjadi salah satu simbol pencarian untuk sebuah aturan dunia baharu ini. Ideal ini pertama sekali akan dicapai dengan memecahkan belenggu di fikiran.
“Kita mesti percaya kepada kemungkinan membina aturan dunia baharu di mana keamanan mengatasi konflik, kepercayaan mengatasi ketakutan, keamanan mengatasi keganasan dan keganasan, kemakmuran mengatasi kemiskinan,” katanya.
Erdogan berkata perubahan sebenar berlaku tidak cukup dengan hanya membantah ketidakadilan yang sedang dihadapi, sebaliknya perlu menunjukkan keberanian untuk membuka hati semua pihak terhadap sebarang ketidakadilan dan penderitaan dilalui orang lain.
Terdahulu dalam ucapan aluannya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan Erdogan sebagai pemimpin berani dan tegas dalam menuntut keadilan terhadap Palestin sekaligus membawa keamanan di Asia Barat.
Katanya, ketika negara lain masih teragak-agak untuk bertindak, Erdogan menunjukkan kejelasan moral dan keberaniannya terhadap isu Palestin.
“Dia bersuara tanpa gentar menentang perampasan, pendudukan dan pembunuhan beramai-ramai (oleh Israel di Semenanjung Gaza).
“Sokongan Turkiye melebihi kata-kata, ia nyata, diplomatik dan teguh. Biarpun orang lain masih teragak-agak, dia tetap tegas. Apabila perhatian global semakin meningkat, beliau sudah memastikan bahawa sokongan untuk Palestin diterjemahkan ke dalam tindakan yang bermakna,” katanya.
Atas keberanian itu kata Anwar, Turkiye kini menjadi antara kuasa global dan memperoleh reputasi sebagai pengantara yang dipercayai untuk keamanan di Asia Barat dan hal ehwal Eropah.
Beliau berkata, hasilnya boleh dilihat hari ini dengan dorongan prestasi ekonominya, peremajaan infrastruktur dan diplomasinya yang berani, semuanya berpaksi kepada kewibawaan kepimpinan.
Nnn