Undang-undang khas kawal ‘derhaka’

SEPANG 1 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan satu undang-undang khas digubal untuk mengawal sebarang tindakan derhaka terhadap institusi raja-raja Melayu sejajar dengan prinsip Rukun Negara.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, institusi raja bukan modal untuk sesiapa meraih dividen politik bagi survival mana-mana individu atau parti sebaliknya harus dimartabat, dipelihara dan dihormati.

Katanya, kenyataan yang dibuat oleh beberapa pimpinan politik terhadap institusi raja baru-baru ini menunjukkan satu sikap yang tidak beradab dan mewujudkan prasangka terhadap institusi raja-raja.

“Pemuda UMNO Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak menghormati institusi raja dan akan terus menegur mana-mana individu atau parti yang melakukan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya, satu undang-undang khas digubal oleh kerajaan dan Parlimen untuk mengawal sebarang tindakan tidak beradab malah derhaka terhadap institusi raja-raja Melayu sejajar dengan prinsip Rukun Negara.

Beliau merujuk kenyataan dikeluarkan Presiden Pas,  Abdul Hadi Awang baru-baru ini selain kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Pembukaan Parlimen Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas baru-baru ini.

Katanya, kedua-dua ahli politik ini membuat satu kenyataan yang tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan serta nasihat kepada raja-raja Melayu.

“Saya yakin konteks yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor adalah bertujuan untuk memastikan keharmonian, kestabilan dan kesatupaduan rakyat Malaysia terus terpelihara serta fokus diberikan sepenuhnya kepada usaha memajukan negeri dan negara.

Saya juga yakin bahawasanya, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor amat arif dan mendapat nasihat serta pandangan yang cukup berkenaan soal perlembagaan dan tugas sebagai pemelihara Islam sebagai agama rasmi Malaysia,” katanya.

Pada Isnin, semasa perasmian persidangan Dewan Rakyat, Sultan Ibrahim bertitah semua orang harus menghormati Kerajaan Perpaduan dan tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat kestabilan politik negara.

Susulan itu, Hassan tidak setuju dan menyatakan pendapat bahawa baginda mesti mematuhi peruntukan Perlembagaan dan tidak mengikut ‘selera dan sentimen peribadi.’

Hassan mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Agong adalah tertakluk kepada sistem raja berperlembagaan, bukan raja mutlak.

Nnn

Related posts

Leave a Comment