KUALA LUMPUR 8 Feb. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said menegaskan, pendiriannya tidak berubah bahawa permohonan perintah larangan bersuara (gag order) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak sepatutnya dibuat.
Ini kerana katanya, perkara berkaitan Titah Adendum sudah pun menjadi pengetahuan umum.
Beliau menjelaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai koordinasi dalam melaksana perintah gag order yang sebenarnya merujuk kepada situasi perbincangan serta perbahasan isu Titah Adendum di Dewan Rakyat.
Penjelasan itu susulan satu laporan dikeluarkan sebuah portal berita yang bertajuk – ‘Terima kasih Azalina kerana tolong koordinasi gag order – Zahid’, disiarkan pada 4 Februari lalu.
Menurut Azalina, pandangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bukannya merujuk pendirian kerajaan terhadap perintah larangan bersuara secara umum.
Katanya, Zahid sudah menghubunginya dan menjelaskan kenyataannya merujuk kepada pendirian Ahli Parlimen blok BN berkaitan isu Titah Adendum, terutama dalam mematuhi Peraturan Mesyuarat 36(2).
“(Iaitu) keputusan berkenaan (perintah larangan bersuara) berkaitan larangan membahaskan dan membincangkan perkara berkaitan Titah Adendum dalam Dewan Rakyat.
Oleh itu, kenyataan beliau perlu difahami dalam konteks berkenaan (di dalam Dewan Rakyat) dan bukannya sebagai pendirian kerajaan terhadap ‘gag order’ secara umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Peraturan Mesyuarat 36(2) menyebut, Ahli-ahli tidak boleh mengucapkan perkara yang sedang diadili Mahkamah (subjudis) dengan cara yang mungkin pada hemat Pengerusi merosakkan kepentingan pihak-pihak di dalam kes tersebut.
Azalina mengulas demikian susulan satu laporan dikeluarkan sebuah portal berita yang bertajuk – ‘Terima kasih Azalina kerana tolong koordinasi gag order – Zahid’, disiarkan pada 4 Februari lalu.
Nnn