PN terus sokong PM sampai PRU

SERDANG 7 Ogos – Perikatan Nasional (PN) akan meneruskan sokongan kepada Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan, kata Naib Presiden, Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata pendirian PN yang dianggotai Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan itu kekal demi kestabilan politik negara.

“Kita akan terus memberi sokongan kepada perdana menteri, itu adalah pendirian PN. Kita mahu kestabilan politik terus berlanjutan di negara kita. Ia bagi memastikan kestabilan politik berkekalan sehingga PRU,” katanya ketika ditemui media pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di sini hari ini.

Terdahulu, Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan merasmikan Laman Padi dan Pelancaran Logo Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB), Aplikasi RIMS, Ladang ’57 Beras Wangi Horeca serta 3FR SOP Manual.

Semalam, Ismail Sabri menegaskan bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan, termasuk membubarkan Parlimen sekiranya ada parti yang menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinannya ketika ini.

Terdahulu kelmarin, sebuah akhbar melaporkan PN dikatakan sedang menimbang untuk menarik balik sokongan kepada Ismail Sabri yang didakwa tidak menunaikan apa yang dikatakan perjanjian melantik Ahli Parlimen Bersatu sebagai timbalan perdana menteri.

Media juga sebelum ini memetik Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, Ismail Sabri membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin pada saat-saat akhir pada pertemuan dijadualkan Khamis lalu.

Pertemuan berkenaan dikatakan berhubung perjanjian yang ditandatangani di antara PN dan Naib Presiden UMNO itu sebelum beliau dilantik sebagai perdana menteri.

Keadaan itu juga menyebabkan timbul desas-desus mendakwa PN mungkin menarik balik sokongan kepada perdana menteri.

Semalam, seorang lagi Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin mengesahkan parti berkenaan tidak membincangkan isu menarik balik sokongan kepada Ismail Sabri dan tidak akan sewenang-wenangnya berbuat demikian.

Related posts

Leave a Comment