SHAH ALAM 8 Feb. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam khususnya di Selangor.
Baginda berpandangan cadangan itu dibuat pada waktu tidak sesuai ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah demi perpaduan nasional.
“Sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak sesuai, pada ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.
“Polemik yang tercetus ini sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ini pasti akan menjejaskan keharmonian yang sedia terjalin,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan
Baginda bertitah, Islam menerusi al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di negara ini.
Titah baginda, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana baginda percaya umat Islam mengetahui batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan.
Justeru, Baginda menasihatkan umat Islam khususnya di negeri Selangor agar sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama dan melakukan segala suruhan Allah SWT serta meninggalkan segala larangan-Nya.
“Apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki, serta memantapkan keyakinan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar,” titah baginda.
Semalam Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Jemaah Menteri memutuskan tiada keperluan mewujudkan garis panduan mengenai pembabitan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.
Sehubungan itu, beliau berkata perkara itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Sebelum ini, media melaporkan Jakim sedang memuktamadkan garis panduan berkenaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, perkara itu akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa MKI Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini.
Menurutnya, ia juga melengkapi Garis Panduan 2005 dan masih boleh dijadikan sebagai panduan.
Antara kandungannya ialah berkaitan pembabitan orang Islam dalam majlis sambutan mesti tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
Nnnn