SPRM tunggu maklumat transaksi kewangan

NILAI 24 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan akan memperoleh maklumat institusi perbankan dalam tempoh seminggu berhubung siasatan penyelewengan dana mencecah RM230 juta membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pihaknya sedang mengenal pasti transaksi kewangan daripada pihak bank bagi membantu agensi penguatkuasaan berkenaan dalam melengkapkan siasatan penyelewengan dana itu.

Beliau menjelaskan, kes berkenaan bukan setakat 2025 atau 2026 sahaja, tetapi juga sebelum dari itu iaitu 2024 dan ke bawah.

“Sehingga semalam, kami hendakkan laporan (penyata bank) 2018. Jadi, saya jangka ambil masa sedikit tapi saya percaya pihak bank akan bagi dokumen-dokumen yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara SPRM dengan Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), di sini hari ini.

Media semalam melaporkan SPRM menyita aset tak alih bernilai lebih RM18.3 juta bagi membantu siasatan berkaitan kes penyelewengan dana RM230 juta membabitkan NGO.

Difahamkan sitaan berkenaan membabitkan 14 hartanah yang terdiri daripada tujuh unit rumah kediaman, tiga unit ruang pejabat dan empat lot tanah di beberapa lokasi.

Azam dalam pada itu berkata, setakat semalam siasatan yang jalankan menunjukkan wang dana berkenaan disalahgunakan untuk tujuan peribadi, membeli aset peribadi dan sebagainya.

“Jadi, kami sedang mendapatkan lebih banyak maklumat dan keterangan, pengesahan penyata daripada pihak bank, berapa banyak wang yang telah masuk dalam akaun peribadi mana-mana pihak.

“Mana-mana pihak yang terbabit dan menerima wang berkenaan termasuk ahli keluarga, akan dipanggil untuk dapatkan penyelesaian sama ada mereka tahu ataupun tidak, jadi saya jangka apabila kita dapat penyata dari bank itu nanti, kemungkinan ramai lagi akan dipanggil,” katanya.

Beliau turut mengesahkan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) turut dipanggil bagi membantu siasatan.

Sementara itu Azam berkata, pihaknya berpandangan perlu ada satu mekanisma atau undang-undang baharu bagi mengawal dan menyelia setiap yang wang masuk dalam NGO kerana perkara ini sudah berlaku beberapa kali sebelum ini.

Beliau berkata, setakat ini tiada undang-undang yang boleh memantau wang yang masuk dalam NGO dengan menggunakan pelbagai platform.

“Susulan itu timbul isu tunggang agama tanpa mengira agama dan masyarakat yang memberi derma untuk mereka uruskan tapi telah disalahgunakan.

“Pada saya topik ini menjadi isu dan perlu diuruskan pada masa akan datang. Sebab itu saya telah sebutkan semalam bahawa SPRM kena buat kerjasama dengan pihak tertentu untuk kita lihat cara terbaik (menangani perkara ini),” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment