KUALA LUMPUR 3 Feb. – Kru Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terbabit dalam insiden dengan bot warga Indonesia di perairan Pulau Carey, direhatkan, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau memberitahu, Maritim Malaysia juga diarah menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden berkenaan.
“Maritim Malaysia sendiri sedang menjalankan siasatan dalaman ke atas anggota yang terbabit. Saya baru saja mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Kita setuju bahawa ketika siasatan dijalankan oleh pihak polis ke atas Maritim Malaysia, krunya yang terbabit dalam insiden itu sepanjang siasatan, mereka akan direhatkan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Jumaat lalu, Pusat Operasi Maritim Selangor menerima amaran awal dari Pusat Kawalan Kawasan (ACC) Klang mengenai aktiviti mencurigakan di perairan berhampiran Pulau Carey.
Sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang dalam tugasan Ops Ehsan/Ops Tiris 3.0 dihantar ke lokasi dan sebaik tiba, mereka mengesan sebuah bot mencurigakan sedang menuju laut terbuka.
Dengan bantuan navigasi ACC Klang, aset ronda maritim mengejar dan mendekati sasaran untuk cuba menghentikan bot terbabit.
Bot itu cuba mengelak ditahan dengan merempuh bot ronda Maritim Malaysia beberapa kali, selain cuba menyerang dengan parang panjang.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution memaklumkan pihak Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur dibenarkan untuk bertemu warganya yang sedang dirawat di Hospital Serdang dan Hospital Klang.
Kebenaran itu diberikan selepas pihak kedutaan republik berkenaan menghubungi pihak KDN.
“Kita benarkan pertemuan mereka di hospital. Mereka masih dalam status tahanan reman. Kita reman mereka, kita tahan mereka untuk tujuan siasatan,” katanya
Saifuddin Nasution berkata siasatan terhadap kes tembakan dilepaskan anggota Maritim Malaysia terhadap warga Indonesia dalam kejadian di perairan Pulau Carey, baru-baru ini dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Ia termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
“Tapi saya nak sebutkan adalah siasatan masih awal dan kita tidak menolak kemungkinan apabila kita semakin menyoal siasat mereka yang ditangkap atau cedera berdasarkan bentuk siasatan kes, ia boleh membawa kepada dibuka kertas siasatan dengan (terkait) penyeludupan dadah dan senjata.
“Kita tak tolak kemungkinan dibuka siasatan nanti berasaskan seksyen-seksyen lain,” katanya.