PUTRAJAYA 3 Feb. – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen Syarikat Al Quds Umrah & Tours Sdn Bhd berkuat kuasa mulai 24 Januari lalu, kata Pesuruhjaya Pelancongan MOTAC, Roslan Abdul Rahman.
Beliau berkata pembatalan lesen itu selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
“Kementerian memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Pada 8 November lalu MOTAC mengumumkan penggantungan lesen syarikat berkenaan berkuat kuasa mulai 9 Julai 2024 sehingga 19 Januari 2025 selaras dengan Akta 482.
Susulan itu, syarikat tidak boleh mengurusniagakan apa-apa perniagaan baharu.
Oktober tahun lalu, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Sabah, membenarkan tuntutan pampasan ganti rugi berjumlah RM10,000 oleh dua individu terhadap syarikat berkenaan.
Keputusan itu selepas pendengaran kes dikemukakan Kasmah Arifin, 55, dan Muliana Samin, 44, terhadap syarikat berkenaan.
Menerusi tuntutan yang dikemukakan, syarikat itu didakwa gagal membawa penuntut untuk mengerjakan ibadah umrah dan badal haji pada tarikh yang ditetapkan walaupun bayaran keseluruhan untuk pakej yang ditawarkan itu masing-masing sebanyak RM6,000 dan RM4,000 telah dijelaskan sepenuhnya oleh kedua-dua penuntut.
Nnnn