IPOH 30 Jan. – Khutbah Jumaat bertajuk ‘Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki’ yang akan dibaca di negeri ini esok tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu.
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam kenyataannya berkata, khutbah itu disediakan berdasarkan peristiwa fitnah terhadap isteri Nabi Muhammad SAW iaitu Aisyah.
Justeru JAIPk menerusi hantaran Facebooknya menafikan dakwaan kononnya khutbah Jumaat itu ada kena mengena atau menyinggung mana-mana individu tertentu.
“Berkenaan khutbah Jabatan Agama Islam Perakbertajuk ‘Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki’ yang akan dibacakan pada minggu ini, ia tiada kena mengena dengan mana-mana individu dan khutbah ini diolah berdasarkan kepada peristiwa Al-Ifki yang berlaku dalam bulan Syaaban,” katanya.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Perak, Muhammad Rif’aat Razman mempersoalkan pemilihan tajuk khutbah itu seakan menyinggung Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang juga bapanya.
“Saya tertanya-tanya, kenapa isu fitnah dan peristiwa al-ifki ini dibawa dalam khutbah Jumaat negeri Perak esok?. Sedangkan peringatan peristiwa yang dekat dengan umat Islam pada ketika ini ialah peristiwa Isra Mikraj dan kelebihan bulan Syaban.
“Adakah Jabatan Agama Islam melalui khutbah ini mahu menyinggung tentang isu fitnah Razman terhadap Hannah Yeoh, apabila dikatakan beliau sebagai anak YTL secara tersilap dan sudah pun memohon maaf atas kesilapan itu? Allah lebih mengetahui. Saya hanya bertanya.
“Sekiranya itulah niat sebenarnya, jelas sampai begitu sekali gigihnya mereka mahu mempertahankan maruah pemimpin DAP yang dikaitkan sebagai anak YTL, sampai menyamakan dengan peristiwa al-Ifki yang mencemarkan maruah Ummul Mu’minin Sayyidah Aisyah yang dituduh curang,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Razman mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan Hannah Yeoh dan YTL tetapi kemudiannya memohon maaf kepada kedua-dua pihak atas kesilapan yang dilakukannya.
Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol mengakui terkhilaf apabila mengaitkan Hannah dengan konglomerat YTL menerusi video berdurasi 19 saat pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar pada Ahad lalu.
Sementara itu, dalam satu hantaran lain, Muhammad Rif’aat mengucapkan terima kasih di atas penjelasan yang diberikan JAIPk
“Kemusykilan yang saya bangkitkan melalui hantaran FB sebelum ini adalah kerana terdapat pihak yang menggunakan (baca: menunggang) tajuk khutbah tersebut untuk menyerang sebilangan individu tertentu.
Maka dengan penjelasan Jabatan Agama Islam ini maka ternyata bahawa tajuk khutbah Jumaat esok tiada kena mengena dengan mana-mana individu. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan,” katanya.
Beliau turut berkongsikan tentang beberapa peristiwa sejarah yang juga berlaku di bulan Sya’ban selain daripada peristiwa al-ifki, antaranya perpindahan Kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah yang berlaku pada 15 Syaaban, tahun ke-2 Hijrah.
Begitu juga pensyariatan puasa pada bulan Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah, Perang Badar Kedua (as-Sughra) pada tahun ke-4 Hijrah di mana tentera musuh berpatah balik kerana gerun dengan tentera Islam menyebabkan peperangan dibatalkan.
Perang Bani al-Musthaliq atau Perang Muraisi’ pada tahun ke-5 Hijrah yang dimenangi oleh tentera Islam, Malam Nisfu Syaaban dan kejayaan mengembalikan Baitul Maqdis daripada kekuasaan tentera Salib kepada kekuasaan orang Islam pada 13 Syaaban tahun 492 Hijrah.
Nnnnn