1.2 juta daftar Gerak Malaysia

LEBIH 1.2 juta individu membuat pendaftaran aplikasi mudah alih Gerak Malaysia dengan 503,276 daripadanya memohon untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara setakat 1 Mei.

Katanya, semua pemohon disarankan mengemas kini maklumat lokasi masing-masing bermula 4 dan 5 Mei ini. Mereka juga dinasihatkan untuk mengemas kini aplikasi Gerak Malaysia yang sedia ada kepada versi terbaharu iaitu versi 2.0.

Pemohon  yang tidak mempunyai kemudahan Gerak Malaysia, boleh membuat permohonan bertulis kepada balai polis berhampiran sebelum 6 atau 7 Mei.

Empat hari ditetapkan untuk perjalanan rentas negeri bermula Khamis (7 Mei) ini, bagi membolehkan orang ramai yang terkandas disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pulang ke kediaman masing-masing.

Pada 7 Mei,  orang ramai yang terkandas di Kuala Lumpur dibenar untuk pulang ke kediaman masing-masing di negeri lain di Semenanjung, manakala 8 Mei (Jumaat) untuk mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan menuju ke destinasi masing-masing. 

Pada 9 Mei (Sabtu) pula, pergerakan dikhususkan kepada mereka yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang dan pada 10 Mei (Ahad), pergerakan untuk yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Orang ramai diingatkan agar hanya membuat perjalanan mengikut negeri pada hari yang ditetapkan bagi mengelak kesesakan teruk di lebuh raya. 

“Kita galakkan kesemua mereka untuk melakukan perjalanan pada waktu malam iaitu selepas waktu berbuka dan ia lebih selesa untuk semua pengguna,” katanya.

Orang ramai yang mengemukakan permohonan boleh membuat perjalanan mengikut tarikh-tarikh yang ditetapkan. Kod QR tidak akan dikeluarkan kepada orang ramai yang membuat permohonan seperti sebelum ini, tetapi polis boleh mengesan sekiranya mereka tinggal lama di sesuatu tempat yang tidak sepatutnya atau tidak mematuhi perjalanan seperti yang dimohon.

Related posts

Leave a Comment