SEPANG 30 Jan. – Kekecewaan jemaah umrah yang terkandas baru-baru ini terubat apabila syarikat pengendali haji dan umrah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menawarkan pakej khas dengan tawaran harga lebih rendah.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Md Daud Che Ngah berkata pihaknya terpanggil untuk membantu jemaah berkenaan dan seramai 150 orang menerima tawaran itu yang melibatkan beberapa penerbangan.
“Kami bersimpati dan berasa sedih dengan apa yang terjadi kepada bakal-bakal tetamu Allah ini yang sudah lama merancang untuk menunaikan umrah bersama ahli keluarga mereka. Kami juga terkesan dengan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghantar kumpulan pertama 30 jemaah terbabit yang berlepas ke Jeddah malam tadi di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1), di sini.
Baru-baru ini sebuah agensi pelancongan gagal menerbangkan jemaahnya dengan antara alasan diberikan adalah tempahan hotel dibatalkan sementara ada jemaah pula mendakwa tidak ada penerbangan.
Menurut Md Daud, pakej khas yang ditawarkan bermula RM6,215 seorang iaitu kira-kira 30 peratus diskaun berbanding harga asal sekitar RM7,980 dengan tarikh penerbangan pada Januari, Februari dan April.
Malahan menurut Md Daud, ada di antara jemaah yang terkandas yang sepatutnya terbang pada 14 Januari lalu mendapat harga serendah RM5,200 seorang.
“Mengikut harga asal, tiada pakej dapat ditawarkan kurang daripada RM6,000 tetapi kami tawarkan harga khas ini kepada mereka yang benar-benar dalam kesulitan sama seperti kami pernah membantu golongan asnaf.
“Pakej ini membabitkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jeddah dan masuk ke Makkah membabitkan tempoh 13 hari di samping pakej ke Taif sama seperti mana individu yang menunaikan umrah dengan Andalusia,” katanya.
Mengenai kegiatan penipuan haji dan umrah, Md Daud hairan mengapa perkara itu boleh berlaku sedangkan ia membabitkan soal ibadah dan agama.
“Saya pernah mencadangkan usul supaya Jabatan Agama Islam Negeri mengadakan khutbah Jumaat sekurang-kurangnya dua ke tiga kali setahun mengenai penipuan haji dan umrah.
“Ini bagi memberi maklumat serta kesedaran kepada orang ramai supaya memilih agensi pelancongan yang mempunyai lesen dan latar belakang kukuh bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Terdahulu , Andalusia melantik wakil jemaah terkandas, Fisa Hazlan, 35, untuk mengumpul jemaah terkandas menunaikan umrah dengan harga istimewa.
“Dua minggu lalu, saya dihubungi oleh pihak Andalusia apabila Pengarah Urusan Andalusia, Haji Ibrahim (Mat Sin) berasa simpati dengan nasib menimpa kami,” katanya.
Daripada 300 jemaah terkandas, 150 daripadanya mampu untuk meneruskan hasrat mereka menunaikan umrah dengan pakej khas berkenaan.
Nnn