Pak Tam seronok bimbing anak muda Kelantan

“SAYA seronok, mereka fokus,” Itu ungkapan Ustaz Muhammad Zaki Ridzuan apabila ditanya mengenai tanggungjawabnya sebagai Mutawif Andalusia ketika memimpin kumpulan anak muda Kelantan menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.

Pada kebiasaannya, kumpulan jemaah yang bersama beliau terdiri daripada pelbagai peringkat usia meliputi orang tua atau warga emas, berusia 40an hingga 50an serta anak muda dengan pelbagai latar belakang.

Namun bagi penerbangan Amal by Malaysia Airlines baru-baru ini Ustaz Zaki atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tam diberi tanggungjawab untuk membimbing jemaah yang terdiri daripada anak-anak muda yang lebih muda daripadanya.

Pak Tam bersama Ustaz Ahmad Junaidi Omar diberi tanggungjawab membimbing 65 anak muda Kelantan yang ditaja sepenuhnya oleh Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menerusi Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.

Anak-anak muda itu terdiri daripada 36 lelaki dan 29 wanita serta mereka diiringi lima pengiring dari urusetia Masjid Imanul Fa’izin, Melor, Kelantan.

Mereka dipilih menyertai pakej 12 hari 10 malam itu selepas memenuhi syarat

solat berjemaah 90 waktu secara tetap di Masjid Imanul Faizin, masjid yang diasaskan pembinaan oleh Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin.

Bagi Pak Tam, beliau melihat anak-anak muda itu sebagai orang yang mempunyai semangat dan kesungguhan untuk beribadah dan menelusuri sejarah di dua kota suci – Makkah dan Madinah kerana ini kali pertama mereka menunaikan umrah.

Pada masa yang sama, memandangkan dalam kalangan anak-anak muda ini berlatar belakang agama, termasuk yang pernah belajar di Mesir atau mengikuti pengajian pondok dan madrasah, beliau turut ‘menguji’ kebolehan mereka.

“Saya tahu mereka berkebolehan dan sebagai mutawif saya buka ruang kepada mereka untuk terlibat sama sebagai pembimbing pada waktu tertentu seperti memimpin doa ketika tawaf, saei serta ziarah Rasulullah SAW.

Malahan ketika doa dibaca oleh ustaz Shakir, saya pula terasa seperti dibimbing oleh mutawif dengan doanya yang melekat di hati, terpanah di hati dan menimbulkan rasa sebak,” kata Pak Tam yang berasal dari Kulim.

Tidak keterlaluan, jika dikatakan dalam kalangan mereka ini, Pak Tam percaya pada suatu masa nanti ada yang boleh menjadi mutawif untuk membimbing orang lain.

Di atas bas, dalam perjalanan menunaikan umrah selepas niat ihram di miqat, atau melakukan ziarah, sambil menyampaikan maklumat mengenai lokasi bakal diziarahi,

Pak Tam memanfaatkan masa terluang dengan menjemput anak-anak muda ini mengetuai talbiyah atau mengalunkan qasidah serta nasyid.

Menurut Pak Tam, anak-anak muda yang bersamanya (bas No.7) turut menunjukkan minat yang mendalam untuk mengikuti setiap ziarah tambahan yang dicadangkan walaupun dikenakan sedikit bayaran untuk pengangkutan, tiket masuk serta makan.

“Ketika mutawif memberi penerangan mengenai sesuatu kawasan, mereka ini ada yang mencatatkan maklumat yang diberi malahan mereka juga membuat penyelidikan mengenai tempat atau lokasi yang hendak diziarah.

“Ini menunjukkan kesungguhan mereka untuk faham dan ada juga yang menyatakan minat mahu menjadi mutawif” kata Pak Tam.

Mengenai disiplin, beliau mengakui dalam mana-mana kumpulan yang ramai,  ada sedikit sebanyak yang ‘terjejas’ dan ini lumrah tetapi bagi kumpulan itu baginya kerjasama dan disiplin mereka adalah baik.

Malahan beliau berterus terang menegur seorang dua yang lewat supaya tidak mengulangi kesilapan kerana gagal mematuhi arahan awal yang kesannya kepada jemaah lain yang sudah berada di dalam bas.

Anak-anak muda ini juga menunjukkan kerjasama yang baik dengan memerhati atau memantau rakan-rakan, menentukan bilangan jemaah cukup di dalam bas, dan ada yang mengambil inisiatif mengutip sampah sebelum meninggalkan bas.

Bagi Pak Tam, program Andalusia bersama anak-anak muda ini bukan sekadar perjalanan ibadah, tetapi platform untuk membina ukhuwah dalam kalangan peserta dan mendekatkan hubungan mereka dengan Allah SWT.

“Saya melihat tajaan ini sebagai usaha untuk membentuk generasi muda yang teguh iman dan kaya dengan ilmu pengetahuan agama. Program ini patut dicontohi dan diteruskan pada masa akan datang,” kata Pak Tam.

Besar harapan Pak Tam, anak-anak muda ini akan terus istiqamah bukan setakat 30 hari yang melayakkan mereka terpilih menunaikan umrah sebaliknya menjadi ‘pendakwah’ di rumah, di kampung supaya keadaan menjadi lebih elok.

Pada masa yang sama mereka juga diharap dapat menarik lebih ramai anak muda mendekati masjid, surau dan ilmu.

Nnnn.

Related posts

Leave a Comment