ALOR SETAR 22 Jan. – Seorang wanita berusia 30-an dikompaun kerana menggunakan nombor pendaftaran kereta seperti perkataan yang menunjukkan namanya ketika memandu di Kilometer 49.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah Stien Van Lutam berkata penguat kuasa menahan kereta dipandu wanita berkenaan pukul 6.40 petang kelmarin yang mengaku nombor pendaftaran terbabit adalah pemberian suaminya.
Pemeriksaan lanjut mendapati kereta berkenaan memaparkan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi dan kelihatan seperti perkataan dan ia kesalahan di bawah Kaedah 6(7) Kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran & Pelesenan) 1959.
Susulan itu, penguat kuasa mengeluarkan notis JPJ (P) 22 dan notis arah periksa kenderaan di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.