HAM: Jakim lapor polis, panggil Harith Iskander

PUTRAJAYA 22 Jan. –  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil Harith Iskander bagi mendapatkan penjelasan berhubung satu hantaran di Facebook berkaitan isu ‘HAM’ yang menimbulkan kontroversi.

Ketua Pengarahnya, Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya juga telah membuat laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan dan tindakan lanjut.

“Jakim juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan sekatan akaun dan menurunkan kandungan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau meminta semua pihak bertenang dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan Jakim tidak akan sesekali berkompromi dengan tindakan yang mempersendakan Islam serta menyinggung sensitiviti umat Islam.

Semua pihak juga diharap dapat mengamalkan sifat hormat dan bertoleransi dalam kehidupan bermasyarakat dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan negara haruslah dihormati pada setiap masa

Sebelum itu, hantaran dalam Facebook dipercayai dimuat naik tiga hari yang lalu oleh Harith Iskandar mengandungi gambar secawan Ham Sap Kopi dengan kapsyen.

“I’m so confused. My iman tergugat. This kopi will lead me down the wrong path in so many ways. Not just tempting me to become hamsap but ALSO confusing me with the word ‘ham’ in it. Ni untuk minum atau makan?

“I must make a polis report because I am so weak I have lost all ability to use logic. Who else is confused,” katanya menerusi hantaran tersebut pada Selasa.

Kemudiannya ia dikomen oleh Cecelia Yap Song KL dengan kenyataan: “All names with Mohammad… got to be renamed then”.

Susulan itu juga polis Johor menerima tiga laporan polis di Johor Bahru Utara, Iskandar Puteri dan Kluang, berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam yang melibatkan kedua-dua individu itu

Ketua Polis Johor,  M Kumar berkata, pihaknya memandang serius serta memberi amaran sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen raja, agama dan kaum (3R) dalam media sosial sehingga boleh membangkitkan perpecahan serta menggugat keharmonian masyarakat.

“Kes disiasat bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan dengan niat mahu melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan mendatangkan khianat awam dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

“Ia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan pelanggan,” katanya..

Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang pada Isnin, Shahrol Shiro menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan kerana status Harith dan komen Cecella itu masing-masing didakwa menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Sebelum itu pada Ahad, bekas ahli kumpulan lawak Shiro itu meluahkan rasa kesal dengan hantaran Harith yang didakwa membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk mempersendakan kesucian Islam.

“Sebagai pelawak tidak semua sudut pandang boleh dijadikan bahan lawak kita. Adakala kita patut lebih sensitif terutamanya apabila melibatkan agama kita.

“Apabila saudara Harith Iskander membuka ruang untuk agama dijadikan satu bahan yang boleh dipersenda maka pengikut juga akan ikut serta dengan meninggalkan komentar mempersendakan agama kita,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment